Pengarah terkenal Indonesia, Joko Anwar meluahkan hasrat untuk segera menonton filem Sheriff: Narko Integriti yang bakal ditayangkan di negara itu pada 23 Mei ini.
Hasrat tersebut dikongsikan sendiri oleh pengarah filem Pengabdi Setan itu menerusi satu hantaran dimuat naik di platform media sosial X (dahulunya dipanggil Twitter).
Joko juga sempat memuji filem arahan pengarah tempatan, Syafiq Yusof itu selepas menonton ‘trailer’ yang dimuat naik di akaun X milik operator pawagam Indonesia.
“Looks great (Nampak macam hebat)! Saya akan mencuba untuk layan segera dekat pawagam Indonesia, Syafiq!,” tulis Joko yang juga pengarah filem seram Siksa Kubur itu.
Difahamkan, hantaran tersebut adalah bentuk respon Joko kepada permintaan yang sebelum ini diluahkan oleh Syafiq Yusof terhadapnya menerusi platform berkenaan.
Terdahulu, Syafiq menerusi akaun X meluahkan keterujaannya berikutan filem Sheriff: Narko Integriti berjaya memasuki pasaran Indonesia dan bakal ditayangkan di sana.
Syafiq dalam hantaran yang sama turut berkongsi harapan agar idolanya di dalam bidang perfileman iaitu Joko Anwar sudi untuk menonton karya terbaharunya itu.
“Untuk teman-teman di Indonesia yang saya kasihi. Mohon ditonton filem Sheriff di bioskop-bioskop (pawagam) CGV. Inilah karya ikhlas dari saya buat bumi Nusantara.
“Impian saya adalah untuk idola saya iaitu Pak Joko Anwar bisa (boleh) menonton filem ini. Salam hormat daripada warga serumpun,” kata Syafiq dalam hantaran itu.
Sekadar info, filem dibintangi pelakon Zul Ariffin, Datuk Aaron Aziz dan Syafiq Kyle ini telah berjaya meraih kutipan RM60.5 juta sejak ditayangkan di Malaysia pada 19 April lalu.
Baca juga: Terkejut tahu bayaran Cristiano Ronaldo untuk satu ‘sponsored post’ di Instagram