Siapa sahaja tidak kenal dengan pelakon yang pernah membintangi filem ‘Tentang Bulan’, Fatin Afeefa yang kini mengumumkan untuk berundur dari dunia seni.
Sudah berada dalam indusri seni sejak kecil, Fatin bagaimanpun menghormati permintaan suami, Aliff Awang dan meletakkan fokus kepada keluarga mereka.
Menurut Kosmo! Online, Fatin memaklumkan suaminya pernah bertanya sama ada dia boleh berhenti dari dunia seni dan baginya ia bukan masalah besar.
“Selepas berkahwin, saya hormati permintaan suami saya. Dia kata boleh ke tak payah berlakon dan menyanyi? Saya jawab boleh sahaja, sebab saya tidak kisah pun dan saya sayang dia. Saya tidak akan berlakon dan menyanyi lagi.
“Tapi saya minta sedikit kelonggaran untuk buat beberapa kempen. Maklumlah saya sudah terbiasa bekerja. Saya hanya keluar sebulan sekali bekerja dan dia bersetuju. Nak kata ralat tinggalkan lakonan dan nyanyian, tidak langsung.
“Sekarang ini saya lebih suka duduk rumah. Tak tahu macam mana nak jelaskan, tapi rasa tenang sahaja perasaan. Hidup dalam keadaan yang orang ramai tak ambil tahu, tiada tekanan,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.
Mahu jaga pergaulan
Pada masa sama, Fatin mengambil peluang ini untuk perbaiki diri selain menjaga batas pergaulan sebagai seorang Muslim.
“Saya mencuba untuk perbaiki diri dan menjadi seorang muslim yang lebih baik. Suami kata suara itu aurat, dan saya cuba belajar untuk kurangkan semua itu.
“Macam berlakon, semua sedia maklum kebanyakan akan secara bebas. Apabila saya fikir semula, betul juga.
“Dulu masa saya berlakon pun bergaul campur dan bebas, ada laki orang, bini orang. Saya tidak mahu lagi berada di situasi itu lagi. Fokus sekarang keluarga sahaja,” tambahnya.
Terus istiqamah tutup aurat
Dalam pada itu, Fatin dan suami turut memilih untuk menjadi contoh yang baik buat anak-anak dan sebolehnya mahu kekal istiqamah dalam menutup aurar.
“Saya mahu menjadi seorang muslim yang lebih baik. Saya dan suami juga sudah buang posting-posting yang haram dan tidak elok dalam media sosial.
“Untuk mendidik anak, ibu bapa perlu tunjuk contoh baik untuk diikuti, ‘role model’.
“Saya pun masih belajar untuk semua itu. Termasuk memakai tudung dulu pun agak kekok pada mulanya sebab tidak tahu. Insya-Allah, doakan yang baik-baik untuk saya sekeluarga,” katanya.