Keadaan tayar adalah perkara paling asas yang wajib diberikan perhatian oleh pemilik kereta terutamanya kenderaan untuk kegunaan harian.
Pemilik kereta perlu menukar tayar sekiranya bahagian jalur atau bunga pada getah tersebut sudah haus untuk mengelakkan risiko berbahaya seperti kemalangan.
Hal ini kerana, bunga pada getah yang menipis dijangka akan melemahkan cengkaman tayar ketika brek ditekan sehingga menyebabkan kenderaan boleh hilang kawalan.
Menyedari kegusaran orang ramai ini, seorang mekanik tampil membuat perkongsian mengenai kaedah mudah bagi mengenal pasti bunga pada getah yang telah botak.
Percaya atau tidak, mekanik yang berpangkalan di Alor Setar, Kedah itu memeriksa keadaan komponen penting itu dengan hanya menggunakan wang syiling bernilai 10 sen.
Turut memuat naik video di laman TikTok, berikut kami kongsikan panduan daripada mekanik dikenali sebagai @abangcomot berdasarkan hantarannya di platfrom tersebut.
Cara-cara:
1. Sediakan sekeping duit syiling yang bernilai 10 sen dan cari lambang berbentuk segi tiga pada tayar kereta.
2. Letakkan duit syiling berkenaan di dalam jalur tengah secara menegak mengikut kedudukan lambang tiga segi tersebut.
3. Sekiranya perkataan ‘Malaysia’ pada syiling itu masih tidak kelihatan, ini bermakna bunga tayar kereta anda berada di dalam keadaan baik.
Perkara ini bermakna jika perkataan Malaysia sudah timbul, pemilik kenderaan boleh mempertimbangkan untuk tidak menggunakan dan menukar tayar botak berkenaan.
Tular di media sosial, video berkenaan sudah berjaya meraih lebih daripada sejuta tontonan dan sebanyak 10,300 tanda suka daripada pengguna platform media sosial TikTok.
Selamat mencuba! Semoga perkongsian ini bermanfaat terutamanya kepada pemilik kereta.
Baca juga: Kerajaan laksana penyasaran subsidi diesel, T20, warga asing antara yang terkecuali