Ysuku milik Khuzaimi Piee hilang lepas rumah dipecah masuk, pemain bola terus jadi sasaran

Oleh WAN SITI AMINAH

Arena bola sepak tempatan kembali dikejutkan dengan kejadian pecah masuk rumah yang menimpa pemain pertahanan Selangor FC, Ahmad Khuzaimi Piee.

Ketika kejadian, pemain itu sedang mengikuti sesi latihan di Pusat Latihan Selangor sebelum tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.

Berdasarkan laporan dibuat pada Rabu pukul 11.30 malam itu, Khuzaimi mengalami kehilangan motosikal jenis Yamaha Y15ZR, beberapa beg berjenama dan pasport.

Jelasnya, pintu pagar depan dan belakang rumahnya didapati sudah terbuka sebaik pulang dari menjalani latihan bersama pasukan Selangor FC pada pukul 9 malam.

“Pada sekitar jam 2 petang, saya meninggalkan rumah untuk pergi ke tempat latihan bola sepak Selangor. Lebih kurang pukul 9 malam semasa sampai di rumah, saya dapati pintu pagar depan dan belakang terbuka.

“Saya buat pemeriksaan di dalam rumah dan mendapati ada barang-barang yang hilang. Antaranya ialah sebuah motosikal jenis Yamaha Y15ZR berwarna biru, empat buah beg silang pelbagai jenama dan pasport.

“Hasil pemeriksaan awal, anggaran dan lain-lain kerugian saya belum pasti. Tujuan saya buat laporan adalah untuk tindakan lanjut dari pihak polis serta pihak yang berkenaan,” katanya dalam laporan tersebut.

Perkara itu dikongsikan oleh Khuzaimi sendiri yang turut melampirkan laporan polis dilakukannya menerusi satu hantaran di Instagram Story miliknya pada pagi Khamis.

Khuzaimi menerusi platform sama turut memuat naik beberapa keping gambar yang memaparkan keadaan di dalam rumahnya yang berselerak selepas dipecah masuk.

Pemain berusia 30 tahun itu kemudian memohon jasa baik orang ramai agar dapat membantunya mencari motosikal miliknya yang telah dicuri dalam kejadian tersebut.

Terdahulu, pemain Terengganu FC iaitu Akhyar Rashid turut mengalami kehilangan dengan nilai kerugian hampir RM5,000 selepas menjadi mangsa samun di mana anggota badannya dihentak dengan kuat menggunakan cota pada 3 Mei lalu.

Dua hari kemudian, Faisal Halim yang merupakan pemain Selangor turut tercedera parah selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat beli-belah di sekitar Petaling Jaya.

Kemudian pemain Johor Darul Ta zim (JDT) iaitu Safiq Rahim pula dijadikan sasaran apabila cermin kereta miliknya dipecahkan dalam insiden yang berlaku pada 8 Mei, berhampiran pusat latihan JDT di Padang Seri Gelam, Johor Bahru.

Baca juga: Setahun sampai keluar dua lagu, tak sangka OST Aku bukan Ustazah rupanya dinyanyikan Marsha Milan