Polis menahan empat individu termasuk sepasang suami isteri warga Myanmar bagi membantu siasatan berhubung kes resit pesanan pelanggan restoran rangkaian piza yang didakwa menghina Islam.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad memaklumkan bahawa penahanan yang dibuat pada Khamis minggu lalu di sebuah pondok dusun durian itu melibatkan tiga warga Myanmar bersama seorang lelaki tempatan.
Jelasnya, tiga warga Myanmar berusia 19 hingga 28 tahun itu adalah pekerja kebun durian yang terletak di Sungai Ara, Bayan Lepas manakala lelaki tempatan berusia 67 tahun terbabit adalah majikan mereka.
Lelaki tempatan berkenaan bagaimanapun telah dibebaskan pada Isnin lalu dengan jaminan pihak polis sebaik sahaja tempoh permohonan reman terhadapnya tamat, lapor Malaysia Gazette.
“Tiga suspek Myanmar itu direman sehingga 3 Jun ini untuk membantu siasatan kes mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.
“Manakala suspek tempatan itu pula dibebaskan dengan jaminan polis selepas permohonan reman terhadapnya tamat Isnin lalu,” kata Hamzah memetik laporan Malaysia Gazeette.
Hamzah menerusi sidang media diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang itu juga mendedahkan bahawa pihaknya telah menerima sebanyak 17 laporan polis berkaitan kes tersebut.
Pada 15 Mei lalu, tular sekeping gambar memaparkan kertas pesanan restoran yang terletak di Kenari Avenue itu di mana ia tertera ayat provokasi dan menghina agama Islam.
Berikut ayat tertera dalam resit tersebut, “At this noisy place with stupid moaning sound like have sex eyeryday. Stupid islam (di tempat yang bising ini dengan bunyi mengerang bodoh seperti melakukan hubungan seks setiap hari. Islam bodoh)”.
Tangkap layar hantaran gambar resit itu kemudian ditularkan oleh pengguna media sosial di pelbagai jenis platform sehingga mendatangkan reaksi negatif terhadap restoran rangkaian piza terbabit.
Baca juga: Isu tuntutan palsu lebih RM19k, anak MB Perlis mengaku tidak bersalah