Selepas bertahun anjur pesta liar ‘Aloha’, pemilik resort di Terengganu akhirnya didenda RM25,000

Oleh MALAYSIADATELINE

Selepas bertahun-tahun menganjurkan pesta liar ‘Aloha’, pemilik resort di Pulau Lang Tengah, Terengganu akhirnya dikenakan kompaun bernilai RM25,000.

Difahamkan, kadar kompaun maksimum itu bakal dikenakan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) mengikut peruntukan Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 2002.

Perkara itu dimaklumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri iaitu Datuk Razali Idris, lapor Berita Harian.

Razali yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal itu memberitahu bahawa pihaknya telah mengadakan pertemuan dengan pemilik resort berkenaan.

“Kita sudah memanggil dan mendengar penjelasan dari pemilik resort dan mendapati mereka melanggar peraturan mengikut seksyen berkenaan.

“Melalui penjelasan diberikan juga, kita dapati pemilik resort itu sudah menganjurkan pesta liar ‘Aloha’ sejak 10 tahun lalu, namun penganjuran ditangguhkan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020 dan 2021,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Menurut Razali, pemilik resort berkenaan juga didapati bersalah kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang sebelum ini telah ditetapkan oleh pihak kerajaan. 

Oleh sebab itu, tindakan lebih tegas bakal dikenakan ke atas pengusaha resort yang didapati melanggar peraturan demi mengelakkan negeri berkenaan menjadi tempat maksiat.

“Pengusaha resort diingatkan untuk tidak mengambil kesempatan berikutan kehadiran terlalu ramai pelancong dengan menganjurkan aktiviti yang melanggar SOP.

“Kerajaan tidak mahu menjadikan negeri ini sebagai tempat kecelakaan maksiat dan tindakan lebih tegas akan dikenakan ke atas pengusaha resort yang didapati melanggar peraturan itu.” Ulasnya.

Terdahulu, tular sekeping poster di media sosial mengenai penganjuran acara yang dikatakan berlaku pada 20 Mei lalu melibatkan sekumpulan wanita berpakaian seksi termasuk berbikini di tepi pantai pulau tersebut.

Bukan itu sahaja, gambar berserta video yang berjaya merakamkan suasana parti termasuk acara nyanyian dan tarian turut tersebar sehingga mengundang kecaman hebat daripada orang ramai.

Baca juga: Isu tuntutan palsu lebih RM19k, anak MB Perlis mengaku tidak bersalah