Dilihat zaman sekarang sudah seperti menjadi satu ‘trend’ untuk ada lebih daripada satu isteri, baik selebriti mahupun orang biasa.
Umum tahu walaupun undang-undang membenarkan pasangan untuk berpoligami, perlu tahu asas agama agar perkahwinan dibina diredhai Allah SWT.
Menurut Kosmo! Online, pelakon Ashraf Muslim mengingatkan setiap pasangan perlu kembali kepada asas perkahwinan dengan membetulkan niat kerana Allah SWT.
“Ramai dalam kalangan kita yang berkahwin atas dasar suka, cinta dan mahu berkeluarga, tetapi semua itu salah. Kita perlu berbalik kepada asas semula dengan niat kerana Allah SWT.
“Dari situ, pasangan suami isteri akan mula sedar peranan dan tanggungjawab yang sepatutnya digalas mereka.
“Jadi, apabila mereka tahu peranan masing-masing, cara untuk menjaga hubungan itu bagi saya tidak kisahlah berkahwin dua, tiga atau empat.
“Asalkan hubungan antara satu sama lain perlu dijaga dengan betul,” katanya seperti dipetik HibGlam.
Sudah hidup berpoligami sejak 2013, Ashraf menganggap kontroversi melanda tiga pelakon baru-baru ini sebagai ujian.
Bercakap berdasarkan pengalaman, suami kepada Nor Dayana Lokman dan Wan Sakinah Wan Saburi itu berkata, ujian sebegitu boleh berlaku namun pengakhirannya tidak sama seperti dijangka.
“Proses yang mereka lalui itu, saya pernah lalui sebelum ini cuma pengakhiran mereka kita tak tahu macam mana.
“Jadi apa yang saya lihat sebenarnya ialah dugaan untuk kita yang melihat dan semua orang, ambillah yang terbaik sebab kita tak tahu apa yang akan berlaku pada masa akan datang.
“Itu mungkin dugaan buat mereka, jadi biarlah mereka ambil yang positif untuk berubah menjadi lebih baik,” tambahnya.