Bapa sanggup melutut minta maaf selepas dihina anak gadis, rupanya sebab tak mampu belikan iPhone

Oleh MAISARAH AISYA

Budak-budak zaman sekarang tidak tahu peritnya mencari wang dalam keadaan ekonomi sekarang ini.

Rata-rata mahukan permintaan mereka dipenuhi tanpa tahu kesukaran ibu bapa untuk memberikan yang terbaik buat anak-anak.

Inilah yang terjadi di China, hanya kerana tidak dapat mengikut trend untuk miliki telefon pintar iPhone, seorang gadis sanggup memalukan ayahnya sendiri.

Menurut South China Morning Post, rakaman kejadian dimuat naik oleh seorang pejalan kaki bernama Zhong yang berada di lokasi kejadian sekitar Taiyuan, wilayah Shanxi pada 4 Mei lalu.

Tambah Zhong, perbualan dua beranak itu sangat kuat sehingga dia mendengar jelas butirannya.

Hina sebab kawan semua pakai iPhone

Dalam video tersebut gadis itu menjerit sambil menghina bapanya. Punca adalah kerana si bapa gagal membelikan iPhone.

Gadis itu dikatakan mahu memiliki telefon jenama Apple yang diketahui malah kerana rakan-rakan lain menggunakan telefon tersebut.

“Ibu bapa lain boleh membelikan anak mereka iPhone. Kenapa awak tak ada duit?,” kata gadis itu.

Lebih memilukan si bapa melutut sambil menggelengkan kepala dan meminta maaf kepada anaknya kerana gagal menunaikan permintaan itu.

Rata-rata netizen mengecam tindakan gadis itu, namun ada yang mengkritik lelaki itu kerana gagal mendidik anak perempuannya dengan wajar.

“Anak-anak terlalu mementingkan keselesaan sendiri tetapi tidak menghiraukan kesusahan ibu bapa. Ini adalah tragedi dalam masyarakat hari ini!” kata seorang netizen.

Baca juga: Selepas bertahun anjur pesta liar ‘Aloha’, pemilik resort di Terengganu akhirnya didenda RM25,000