Membuahkan hasil! Lawatan Anwar ke Jepun jana potensi pelaburan RM1.45 bilion, eksport RM550 juta

Oleh WAN SITI AMINAH

Lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama delegasi ke Tokyo, Jepun nampaknya membuahkan hasil yang cukup memberangsangkan.

Mana tidaknya, Malaysia telah meraih potensi pelaburan dan eksport masing-masing bernilai RM1.45 bilion dan RM550 juta dari tujuh syarikat utama Jepun, hasil lawatan tersebut.

Kesemua syarikat terbabit terdiri daripada pemain industri jentera dan kelengkapan, kimia dan produk kimia, industri minyak dan gas, minyak sawit, produk berasaskan minyak sawit, serta tenaga boleh diperbaharui (RE).

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memaklumkan bahawa beberapa projek daripada pelaburan itu akan dilaksanakan dalam tempoh tiga tahun, lapor Astro Awani.

Perlaksanaan projek ini dijangka dapat membantu Malaysia mewujudkan ekosistem yang kukuh terutamanya di dalam sektor semikonduktor, tenaga boleh baharu dan juga teknologi hijau.

“Ia bakal membantu Malaysia mewujudkan ekosistem yang kukuh di dalam sektor semikonduktor, tenaga boleh baharu dan teknologi hijau.

“Manakala beberapa projek dilaksanakan merupakan pemangkin penting ke arah mencapai matlamat pelepasan karbon sifar bersih Malaysia menjelang 2050,” katanya memetik laporan Astro Awani.

Jelas Zafrul, peluasan projek pelaburan dari Jepun yang merentasi pelbagai sektor strategik ini turut mencerminkan keyakinan berterusan mereka terhadap landskap perindustrian Malaysia.

Antara syarikat yang mengadakan pertemuan dengan MITI sempena lawatan rasmi Perdana Menteri adalah IHI Corporation, Nisshin Oillio Group, Tokuyama Corporation, Sumitomo Corporation, ENEOS Holdings, Mitsubishi Corporation dan Tokyo Gas.

Untuk makluman, negara Matahari Terbit itu merupakan rakan dagang Malaysia yang keempat terbesar untuk tahun 2023 dengan nilai dagangan berjumlah RM156.63 bilion.

Jepun juga adalah pelabur keempat terbesar dalam sektor pembuatan dengan nilai pelaburan RM102.11 bilion (USD29.67), melibatkan 2,810 projek dan mewujudkan sejumlah 344,120 peluang pekerjaan.

Lawatan kerja singkat Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jepun bermula 22 hingga 24 Mei sebelum dijadualkan pulang ke Kuala Lumpur hari ini selepas selesai menunaikan solat Jumaat di Tokyo.

Baca juga: Bekas Setiausaha Politik Ketua Pembangkang didakwa lagi, minta ‘suapan’ RM350k 4 tahun lepas