Penyanyi lagu ‘Bea sobar bea’ yang sedang popular di TikTok ketika ini membuat pengakuan dia terpaksa menyanyi dalam keadaan ‘takut-takut’ di negerinya sendiri.
Pemilik nama Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail itu berkata, ini kerana situasi di Kelantan yang tidak membenarkan wanita membuat persembahan di khalayak ramai.
Pun begitu katanya, situasi tersebut tidak mematahkan semangatnya untuk terus menyanyi.
“Bakat ini merupakan punca rezeki kepada saya.
“Alhamdulillah, walaupun di Kelantan sukar tetapi saya ada menerima jemputan di seluruh negara sehingga tidak menang tangan,” katanya menurut laporan Sinar Harian.
Menurut anak kelahiran Kota Bharu itu yang sudah 10 tahun berkecimpung dalam seni suara, pada Oktober ini dia akan ke Brunei untuk mengadakan persembahan.
Ujarnya, lagu ‘Cinta Setandang Pisang’ yang dinyanyikan bersama Den Manjo telah melonjakkan namanya sebaris dengan penyanyi tempatan yang ada di Malaysia.
Malah katanya, lagu tersebut juga telah menjuarai Carta Muzik TikTok Malaysia sekali gus mempopularkan loghat Kelantan di mata dunia.
Penyanyi berusia 30 tahun itu memberitahu, dia akan muncul dengan lagu baharu tidak lama lagi bersama Man Khan serta Adek Wanie dan turut sama menyanyikan lagu solo.
Baca juga: Bapa sanggup melutut minta maaf selepas dihina anak gadis, rupanya sebab tak mampu belikan iPhone