Bapa kepada Mohd Aariz Zafran iaitu Mohd Azlan Ishak mengaku sudah menyiapkan dokumen untuk menikahi ibu bayi yang mengalami penyakit paru-paru kronik itu.
Tidak menafikan khabar yang beredar, Azlan mendakwa memang merancang untuk menikah sebelum ini namun terpaksa memikirkan kesihatan anaknya terlebih dahulu.
Oleh yang demikian, Azlan dan pasangannya iaitu Norhidayu Halim memilih untuk ‘mendahulukan’ urusan kesihatan anak berbanding menghalalkan hubungan mereka.
Namun mereka kini sedang berada dalam proses untuk berkahwin dan sudah menyerahkan dokumen diperlukan kepada seorang ustaz dipercayai imam masjid, lapor Mstar.
“Sebelum ini, kami sudah membuat perancangan untuk berkahwin. Tetapi kami lebih utamakan kesihatan anak, jadi kami dahulukan untuk menguruskan anak yang sakit.
“Namun kami sekarang dalam proses untuk mendirikan rumah tangga. Saya sudah menyerahkan dokumen untuk berkahwin kepada ustaz (imam masjid),” katanya memetik laporan Mstar.
Bapa berusia 36 tahun itu juga tidak menyangkal pernah dinasihatkan untuk tinggal berasingan dengan Nurhidayu oleh pihak berkuasa agama kerana bersekedudukan.
Akhirnya, pasangan yang menetap di kawasan Kota Nelayan, Kuala Kedah itu akur dengan nasihat tersebut selain merancang untuk berkahwin dalam masa terdekat.
“Tok imam itu datang rumah saya dan memberi penjelasan mengenai proses untuk berkahwin. Katanya, proses memakan masa seminggu untuk membolehkan kami menikah.
“Kalau tok imam sudah cakap macam itu, tak akanlah kita tak percaya pula,” jelas Azlan yang turut mendedahkan status sebenar perkahwinan Norhidayu dengan suaminya.
Menyanggah dakwaan bahawa Norhidayu adalah isteri orang, Azlan memaklumkan dokumen penceraian wanita berusia 35 tahun itu kini berada di dalam milikan mereka.
“Hidayu sebenarnya sudah bercerai dengan suami dia sebelum ini. Dokumen mengenai penceraian dia dan suami pun kami sudah ada.” Ulas Azlan berhubung status pasangannya.
Difahamkan, bekas suami Norhidayu kini berada di sebuah penjara untuk menjalani hukuman sejak 29 Ogos, tahun lalu namun kesalahan lelaki itu belum didedahkan.
Terdahulu, pengurusan Masjid Al Maarufi Seberang Kota menafikan dakwaan orang ramai bahawa pihaknya tidak mengambil berat terhadap pasangan tular berkenaan.
Muhammad Hazamer Muslim selaku Pengerusi Qariah masjid itu memberitahu sudah beberapa kali menyalurkan bantuan kotak makanan daripada Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) kepada keluarga terbabit.
Mengulas lanjut, Hazamer menegaskan pihaknya akan membantu proses penikahan pasangan itu selain memaklumkan mereka terpaksa difaraqkan (dipisah) sementara sehingga selesai melengkapkan dokumen perkahwinan.