Seorang wanita tidak pernah menyangka kehadiran biras baharu di dalam keluarga bakal mengeruhkan hubungannya dengan mentua.
Dijadikan tempat berkongsi cerita, wanita yang dikenali sebagai Nor itu merasa amat tertekan selepas birasnya tergamak mengkhianati kepercayaan diberinya selama ini.
Berikut perkongsian Nor yang menyesali keputusan diambilnya selepas hubungannya dengan mentua kini retak menanti belah angkara hasutan isteri kepada adik iparnya.
“Assalamualaikum. Saya Nor, seorang menantu sulung. Sepanjang bergelar menantu dan kakak ipar di dalam keluarga suami, tak pernah ambil tahu apa yang mereka cakap di belakang saya. Pernahlah juga dengar sipi-sipi tetapi saya jenis malas nak ambil peduli. Jadi, saya hanya berdiam diri tanpa mengadu dengan suami.
“Senang cerita, suami saya ini anak mak. Sebelum ini pernah sekali mengadu dengan suami apa yang mak dia buat dekat saya. Sebaliknya, saya yang dipersalahkan oleh suami. Jadi bermula dari hari itu sampailah perkahwinan kami berusia empat tahun, tak pernah lagi mengadu apa yang keluarga dia buat kepada saya.
“Jadi suami ingat saya dengan maknya baik-baik sahaja. Baru-baru ini adik ipar saya (yang lelaki) kahwin. Jadi isteri kepada adik ipar iaitu biras tahu semua yang ibu mentua kata belakang saya. Maksudnya sudah bermacam perkara mereka gosip tentang saya dan suami. Jadi biras itu cerita habis semua yang dia tahu.
“Masa ini, biras tengah geram dekat suaminya. Jadi dia pun beritahu apa yang suaminya cakap pasal saya. Dia juga cerita semua yang mak mentua dan anak-anaknya kata mengenai saya di belakang. Macam-macamlah. Mulanya memang saya marah, tetapi cuma mendengar tanpa membalas apa-apa.
“Saya hanya pendam tanpa beritahu suami apa yang biras sampaikan. Oleh itu, saya teruskan hidup seperti biasa. Tak ambil peduli dan juga tidak mahu ingat lagi perkara yang diceritakan oleh biras. Saya cuba lupa apa yang telah didengar. Hari demi hari, saya semakin rapat dengan biras selepas kejadian itu.
“Segala apa yang suaminya dan mentua cakap pasal saya, semua biras cerita. Dia juga bercerita pasal ketidakpuasan hatinya dengan suami dan juga mentua. Bermacam-macamlah dia kutuk sini sana. Saya pun dengarlah luahan dia. Dalam masa sama, dia selitkan juga soalan supaya saya cerita rasa ketidakpuasan hati ini.
“Mulanya saya masih diam. Tetapi apabila selalu sangat jumpa dan setiap kali itu dia ada sahaja cerita tentang apa yang mentua dan suaminya cakap di belakang saya. Iyalah, saya juga manusia biasa. Tidak lari dari perasaan benci dan marah. Saya pun jadi marah. Tetapi tetap jumpa mentua walau dalam keadaan saya tengah sakit hati.
“Saya simpan lagi sehinggalah pada suatu hari, tercerita sedikit. Adalah dalam tiga cerita tentang apa yang mentua buat terhadap saya sampai buat hati ini sakit. Tetapi lain pula jadinya. Suami kata saya ada mengutuk mentua diam-diam sampai mak dia terasa hati. Nasib baik suami tak marah masa itu.
“Suami cuma tanya sama ada pernah cerita apa-apa dekat isteri adik dia. Saya pun mengaku, memang ada cerita. Apa yang sakit hati, suami cakap isteri adik ipar itu sudah menokok tambah apa yang telah saya ceritakan. Sekarang ini, mentua tengok saya macam jahat sangat. Biras tengah nampak baik sebab dia orang baru.
“Saya tak tahulah apa niat biras berkelakuan seperti ini. Apa yang dia kutuk mentua, saya tak penah mengadu pun dekat suami. Tetapi apa yang saya cakap mengenai mentua, semua dia mengadu dekat suami. Cakap saya ini tak suka keluarga mereka. Sekarang ini suami beritahu kalau tiada perkara nak sembang, lebih baik diam.
“Ini disebabkan isteri adiknya itu jenis yang putar belit cerita. Sekarang saya, mentua dan adik-adik ipar memang tengah dingin dan kami tak bercakap sangat. Tindakan saya sekarang ini hanya ingin berdiam dan tidak akan masuk campur lagi dalam hal mereka sekeluarga.
“Pilihan untuk berdiam ini dibuat sebab tahu kalau cakap sekarang ini pun, saya tetap akan nampak jahat. Tetapi sekarang ini hati, jiwa dan juga mental saya betul-betul terganggu. Hanya Allah sahaja tempat saya mengadu. Setakat ini sahajalah. Sambil taip saya menangis. Tak tahu nak gambarkan perasaan ini macam mana.” Kongsinya.
Baca juga: Bawa watak alim tapi tak jaga penampilan, Erysha Emyra berlapang dada terima kritikan