“Suami sokong aku curang dengan lelaki tua, dia berharta dan boleh tanggung kami”

Oleh WAN SITI AMINAH

Siapa sangka, seorang suami sanggup bersekongkol dan merelakan isterinya menjalinkan hubungan dengan lelaki lain demi mendapatkan kehidupan yang selesa.

Lebih memburukkan keadaan, ‘orang ketiga’ yang berada di dalam perkahwinan mereka itu juga merupakan suami orang dan hubungan tersebut turut diketahui isterinya.

Berikut perkongsian Bunga yang terpaksa mendedahkan kisah rumah tangga rakan sekerjanya di media sosial untuk mencari jalan menyelesaikan masalah dihadapinya.

“Assalamualaikum, sebelum itu aku nak beritahu yang isu ini agak sensitif. Nama aku Bunga, bekerja di salah satu syarikat swasta. Aku nak cerita tentang seorang kawan yang boleh dikatakan merupakan seorang penyondol. Tetapi ada ‘plot-twist’nya. Aku gelarkan dia sebagai Kak Palas (bukan nama sebenar).

“Kak Palas berumur awal 30-an. Sudah berkahwin dan memiliki tiga orang anak. Usia perkahwinan dia sudah menjangkau belasan tahun. Orangnya comel dan kelihatan muda. Perkenalan kami tak lama, tetapi cukup buat aku kenal perangai sebenar Kak Palas. Dia adalah kakitangan baharu di pejabat aku bekerja.

“Mulanya perkenalan kami hanya sebatas rakan sekerja yang hanya bercakap pasal pekerjaan sahaja. Sampai di satu hari, aku ajak Kak Palas teman keluar untuk urusan kerja. Aku memandu kereta sambil buka lagu jiwang. Tengah sedap menyanyi, aku perasan Kak Palas senyap sahaja di dalam kereta.

“Aku tanyalah, ‘Kak Palas okay tak, nampak sedih sahaja. Lagu jiwang sedikit sahaja, tak akan tersentuh kot’. Dia seperti menahan tangis. Aku jadi serba salah sebab ingat dia hanya mengelamun. Aku minta maaf dan cakap dia boleh sahaja berkongsi cerita kalau tak keberatan. Aku cuma mahu menjadi kawan yang baik.

“Tiba-tiba Kak Palas memberi respon, ‘tiadalah Bunga, cuma teringatkan kisah lama. Biasalah, setiap manusia mesti punya kisah silam yang tak mampu kita lupakan’. Aku diam sejenak sebelum minta Kak Palas kongsi untuk mengurangkan bebannya. Dia kata kejadian tersebut berlaku sebelum dirinya berkahwin.

“Kak Palas ceritalah dia pernah menjalinkan hubungan dengan seorang lelaki selama tujuh tahun. Yang buat aku terkejut, teman lelaki dia adalah suami orang. Panas juga telinga aku. Sudahlah tengah tular pasal kes penyondolan sekarang. Tetapi aku diam dan berikan ruang untuk dia bercerita. Lagipun, kejadian berlaku sebelum dia berkahwin. 

“Pada aku waktu itu, rasa tiada keperluan untuk menghakimi Kak Palas. Dia pernah muda dan melakukan kesilapan. Aku masih berfikiran terbuka masa itu. Dia sambung cerita. Katanya, suami orang itu jenis lelaki berada. Isterinya pula pernah menyerang Kak Palas dengan pelbagai panggilan kesat yang tidak diingini wanita.

“Kak Palas cerita sambil menangis. Katanya, bukan salah dia. Sebab suami orang itu yang mencari-carinya. Dalam hati aku, tepuk sebelah tangan tak akan berbunyi. Tak mengapa, orang tengah sedih. Tak elok mencelah. Suami orang itu selalu berikan Kak Palas duit poket bulanan dan sering bawa keluar makan. 

“Ingat ya, Kak Palas cerita yang kejadian ini berlaku SEBELUM dia menikah. Selepas itu, aku lupakan sahaja cerita tersebut dan simpan sebagai rahsia. Cerita pada mak aku sahaja, biasalah. Aku tetap berkawan seperti biasa dengan Kak Palas. Satu hari, salah seorang kawan kami ajak keluar makan tengah hari bersama.

“Aku kenalkan kawan itu sebagai Kak Sawit. Aku ini suka memasak dan jarang keluar makan di luar. Jadi aku tolak pelawaan Kak Sawit sebab sudah membawa bekal. Aku cakap, keluar sahaja dengan Kak Palas. Tiba waktu makan, aku pergi pantri pejabat. Tetapi tertoleh dekat Kamera Litar Tertutup (CCTV).

“Ternampaklah Kak Palas turun tangga seorang diri sambil terjenguk-jenguk. Macam nak pastikan tiada orang nampak. Aku tak fikir masa itu. Habis waktu makan tengah hari, Kak Sawit ke meja aku untuk hantar dokumen. Aku tanyalah Kak Sawit makan di mana. Dia kata balik makan dekat rumah dengan suaminya.

“Rupanya Kak Sawit tak jadi makan dengan Kak Palas. Katanya Kak Palas nak keluar makan dengan kawan. Tetapi minta Kak Sawit rahsiakan. Jika ada orang tanya, cakap memang mereka makan bersama. Aku jawablah mungkin keluar dengan suami dia. Kami biar persoalan tersebut tergantung begitu sahaja. Tidak lama kemudian, ada sesuatu berlaku.

“Tempat kami bekerja dijemput untuk menghadiri sebuah majlis yang dikendali oleh salah sebuah syarikat. Syarikat itu ada hubungan dengan tempat kerja kami. Adalah beberapa kakitangan termasuk aku dan Kak Palas menyertai majlis tersebut. Tetapi aku perasan, Kak Palas seperti teruja untuk menghadirinya.

“Kak Palas punya teruja, macam dia yang terlibat dalam pengurusan majlis tersebut. Tiba di majlis, aku perasan Kak Palas ada bertegur sapa dengan salah seorang wakil syarikat yang menganjurkan majlis. Tak pelik sebab Kak Palas memang sudah lama bekerja dalam bidang ini walaupun dia baru bertugas di syarikat kami.

“Jadinya, Kak Palas memang kenal ramai orang dari syarikat lain dalam bidang yang sama. Majlis tersebut berlangsung seperti biasa. Tetapi aku teringat kisah Kak Palas yang dia pernah menyondol suami orang waktu masih bujang. Aku buatlah kira-kira dengan usia perkahwinan dan umur dia. Terus ‘blur’. Tak mungkin Kak Palas bercinta dengan suami orang yang sudah tua pada usia dia masih bersekolah?.

“Tibalah suatu hari Kak Palas jujur menceritakan apa yang sebenarnya sudah terjadi. Rupanya dia sudah bergelar isteri ketika menjalinkan hubungan dengan suami orang tersebut. ‘Plot-twist’ nya, suami sah Kak Palas tahu mengenai hubungan dia dengan lelaki tersebut. Lebih mengejutkan, suami dia sokong. GILA.

“Jadi, hubungan sulit ini diketahui oleh kedua-dua belah pihak. Si isteri kepada suami orang itu tahu tentang kewujudan Kak Palas. Suami kepada Kak Palas juga sedia maklum mengenai hubungan isterinya dengan suami orang. Tetapi suami orang ini ingatkan Kak Palas sudah bercerai. Padahal masih isteri orang yang SAH. 

“Aku yang dengar juga tergamam. Kenapa tak tegur perbuatan Kak Palas? Sebabnya dia sudah tua. Tuan badan sendiri tahu apa yang dilakukan itu tindakan yang salah. Kalau suami sendiri dayus dan merelakan hubungan Kak Palas dengan suami orang itu, kamu semua fikir dia akan mendengar nasihat daripada aku?.

“Lagi pula, aku ini baru hidup setahun jagung. Setiap kali Kak Palas cerita tentang hal dia dan suami orang, aku mesti pedih telinga. Aku menahan diri ini dari mencarut dan tarik tudung dia. Sebab semua yang keluar dari mulut dia memang melampau. Tak boleh hadam langsung. Mesti ada yang tanya kenapa suami dia merelakan sahaja?.

“Sebabnya harta. Kak Palas dan suami mahukan duit daripada lelaki berusia itu. Kak Palas juga sudah terikat dengan suami orang tersebut sebab beberapa pinjaman Kak Palas dibayar dan ditanggung sepenuhnya oleh lelaki tersebut. Sebab itulah mereka tak pernah berpisah. Macam mana dia sorok status dari lelaki tua itu aku tak tahu.

“Kak Palas selalu cakap dia kerap keluar dengan lelaki itu DENGAN PENGETAHUAN suami dia. Banyak kali juga dia bercerita kena serang dengan isteri teman lelakinya itu. Tetapi dia marah kalau suami orang itu bergambar mesra dengan isteri sahnya sambil berpeluk dan sambut hari jadi bersama. Boleh kata si isteri sah tu gila.

“Kata Kak Palas, isteri sah itu sengaja buat dia cemburu. GILA. Sumpah, gilalah. Dia boleh merajuk dengan suami orang sebab kononnya melebihkan isteri sah. Pernahlah aku tanya Kak Palas nak kahwin tak kalau suami orang itu ajak. Tetapi tak nak sebab lelaki itu takut bini. Kau itu sudahlah isteri orang tetapi mengaku bercerai!.

“Allah. Aku dengar pun jadi takut. Kadang-kadang dia tunjukkan perbualan bersama suami orang itu. Siap minta duit dan belanjakan barang-barangan mewah. Aduhai. Ini memang SAH GILA! Urat malu dia sudah putus. Aku ini bujang belum berkahwin. Jadi takut nak mendirikan rumah tangga bila tahu kisah hidup Kak Palas ini.

“Kak Palas pernah tak tidur semalaman disebabkan bergaduh dengan lelaki itu atau isterinya. Sampai beri kesan kepada kerjaya dia sebab tak hadir ke tempat kerja dan sebagainya. Yang peliknya dia mengaku buat semua ini kerana harta. Tetapi kenapa sampai perlu benci si isteri sebab rasa cemburu dan sebagainya?.

“Maknanya memang ada rasa sayanglah kan? Habis itu suami sah Kak Palas macam mana? Anak-anak dia? Oh, syarikat yang menganjurkan majlis hari itu dimiliki oleh si suami orang tersebut. Aku ini kadang-kadang cuba juga cari cara untuk lari apabila dia cuba bukak topik kisahnya dengan suami orang itu.

“Tetapi kadang-kadang terjebak juga. Sebab sudah kerja sekali. Tak boleh buat apa. Kalau pembaca berada di tempat aku, apa kamu semua akan buat? Apa pun, ayuh kita doakan Kak Palas dan suaminya supaya kembali ke pangkal jalan.” Tulis Bunga (Bukan nama sebenar) menerusi satu hantaran di sebuah forum atas talian.

Baca juga: “Kak ipar siap ‘update’ FB kutuk aku tak suka anak dia, rupanya kerja mak mentua selama ni…”