Petani dan penternak boleh mula mohon subsidi diesel, ini langkah serta syaratnya

Oleh WAN SITI AMINAH

Kerajaan baru-baru ini mengumumkan bahawa permohonan subsidi diesel bersasar menerusi program Bantuan Subsidi Madani (Budi Madani) akan dibuka mulai Selasa.

Melalui inisiatif ini, pemohon yang layak termasuk petani, pekebun kecil dan pemilik kenderaan diesel persendirian akan menerima ‘Budi Madani’ bernilai RM200 sebulan.

Petani, penternak dan pengusaha akuakultur bagaimanapun disarankan mendaftar di sistem GeoAgro terlebih dahulu sebelum membuat permohonan bagi Budi Madani.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memaklumkan, individu yang menepati syarat boleh mendaftar di portal yang disediakan, lapor Sinar Harian.

“Petani, penternak dan pengusaha akuakultur yang berkelayakan perlulah berdaftar terlebih dahulu melalui Sistem GeoAgro di pautan https://geoagroregister.kpkm.gov.my.

“(Selepas itu, barulah) membuat permohonan di Portal Budi Madani di pautan https://budimadani.gov.my. Antara syarat permohonan (Budi Madani) adalah individu atau pertubuhan perlu berdaftar dengan KPKM melalui Sistem Pendaftaran GeoAgro.

“Julat pendapatan kasar tahunan (untuk mereka yang layak adalah) daripada nilai jualan hasil pertanian dari RM50,000 hingga RM300,000,” kata KPKM memetik laporan Sinar Harian.

KPKM dalam kenyataan itu turut menjelaskan, subsidi dan insentif yang sedia ada untuk golongan nelayan serta pesawah akan terus dikekalkan ataupun ditambah baik.

Kerajaan terus memberikan subsidi diesel pada harga RM1.65 seliter kepada nelayan kategori pemilik vesel perikanan Zon A, B dan C tertakluk kepada kuota ditetapkan.

“Bagi pesawah, kerajaan menaikkan kadar Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) daripada RM360 per tan metrik kepada RM500 per tan metrik pada tahun 2023,” jelasnya lagi.

Kerajaan juga bersetuju menambah baik kadar insentif pembajakan daripada RM100 per hektar per musim kepada RM160 per hektar per musim selain memperkenalkan insentif penuaian pada kadar RM50 per hektar per musim.

Menurut KPKM, pesawah terlibat akan menerima bayaran insentif pembajakan dan insentif penuaian sebanyak RM210 per hektar per musim menerusi kenaikan kadar tersebut.

Kenyataan itu turut memberitahu, permohonan fleet card diesel bersubsidi kepada kenderaan pengangkutan yang layak di bawah Sistem Kawalan Diesel Subsidi (SKDS) 2.0 pula perlu dibuat melalui sistem MySubsidi Diesel di pautan https://mysubsidi.kpdn.gov.my/.

“Sebarang pertanyaan berkenaan bantuan tunai subsidi diesel sektor pertanian boleh menghubungi Bilik Gerakan KPKM di talian 03-8870 1207 atau 1147 bermula 8.30 pagi sehingga 5.30 petang pada hari bekerja.

“Boleh juga e-mel kepada [email protected] atau hadir ke jabatan mahupun agensi KPKM yang berdekatan untuk mendapatkan khidmat nasihat pengisian borang permohonan.” Ulasnya.

Terdahulu, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan selaku Menteri Kewangan II membuat pengumuman bahawa permohonan program Budi Madani akan dibuka bermula pada Selasa.

Pemilik kenderaan diesel persendirian yang layak boleh membuat permohonan di bawah kategori Budi Individu manakala petani dan pekebun kecil pula Budi Agri-Komoditi.

Kriteria kelayakan Budi Individu bagi pemohon warganegara Malaysia adalah memiliki kenderaan diesel persendirian yang berdaftar dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selain kenderaan mewah di bawah usia 10 tahun, cukai jalan aktif serta pendapatan tahunan individu atau pasangan RM100,000 ke bawah.

Baca juga: Punya ramai nak keluarkan duit, KWSP terima hampir 3 juta permohonan hanya selepas seminggu diumum