Malaysia hari ini dikejutkan dengan pendakwaan dua pegawai kanan polis dari Bukit Aman ekoran disyaki menerima rasuah RM1.25 juta untuk menutup kes jenayah ahli perniagaan berkaitan pembelian senjata api oleh warga Israel.
Dua pegawai kanan yang berpangkat Asisten Komisioner dan Deputi Superintendan itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim, Azura Alwi di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini.
Mereka yang tertuduh adalah Ketua Penolong Pengarah Siasatan Perakaunan Forensik Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman iaitu Asisten Komisioner Chin Khiam Kong, 54, dan Ketua Unit Siasatan Jenayah Cryptocurrency JSJK Bukit Aman, Deputi Superintendan Suhairon Abdullah yang berusia 42 tahun.
Mengikut pertuduhan kes, Khiam Kong dan Suhairon didakwa sebagai pegawai badan awam secara bersama bersetuju dan menerima wang suapan RM1 juta daripada Khoo Zixian, 28, sebagai dorongan untuk membantu menutup siasatan kes jenayah lelaki berkenaan.
Khiam Kong dalam pertuduhan tersebut turut berdepan dengan dakwaan bersetuju dan menerima rasuah bernilai RM250,000 daripada individu sama untuk menutup siasatan kes komersial yang dihadapinya, lapor Berita Harian.
Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di Menara KPJ, Jalan Tun Razak di Kuala Lumpur, pada 8, 18 dan 19 April lalu, mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694).
Pendakwaan kes itu dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta SPRM 2009 membawa kepada pemenjaraan tidak lebih 20 tahun jika disabit kesalahan dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.
Timbalan Pendakwa Raya, Syed Faisal Syed Amir kemudian mencadangkan jaminan berjumlah RM100,000 dengan seorang penjamin terhadap setiap tertuduh bersama syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah susulan mereka melakukan pengakuan tidak bersalah tersebut.
Walau bagaimanapun, peguam bela Khiam Kong iaitu Jacky Loi Yap Loong memohon anak guam dikenakan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin tanpa sebarang syarat tambahan serahan pasport malah syarat melaporkan diri di balai polis juga boleh diganti dengan penyerahan dokumen tersebut.
“Anak guam yang sudah berkhidmat selama 29 tahun dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempunyai empat anak berusia 18, 23, 25 dan 27 tahun. Anak berusia 18 tahun itu masih belajar.
“Saya dimaklumkan anak guam bakal menghadiri sesi perjumpaan dengan ibu bapa di luar negara pada hujung Jun ini. Tiada sebarang bukti dan kenyataan dikemuka pihak pendakwaan bahawa anak guam akan menghilangkan diri jika tidak menyerahkan pasport,” katanya.
Manakala Ridha Abdah Subri selaku peguam bela Suhairon pula mencadangkan nilai jaminan RM15,000 dengan dua penjamin terhadap anak guamnya kerana memiliki tanggungan keluarga termasuklah ibunya yang berusia 80 tahun.
“Anak guam sudah berkhidmat lebih 20 tahun dan memberikan kerjasama sepanjang siasatan. Tiada sebab untuk melarikan diri kerana isteri, anak dan keluarga terdekat berada di Malaysia. Isteri Suhairon juga tidak bekerja.
“Manakala empat anak mereka masih bersekolah dengan yang bongsu berusia tujuh tahun. Anak guam juga perlu menanggung ibu bapa berusia 80 tahun yang dalam keadaan uzur di kampung.
“Keluarganya hanya mampu mengumpul RM15,000 dan percaya amaun itu adalah selari serta konsisten untuk memastikan kehadiran di mahkamah.” Jelas Ridha ketika mewakili anak guamnya.
Hakim kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM40,000 dengan seorang atau dua penjamin kepada setiap tertuduh, selain syarat tambahan seperti dicadangkan pihak pendakwaan.
Mahkamah kemudian menetapkan tarikh pada 30 Julai ini untuk sebutan semula kes.
Baca juga: ‘Lebih penting selamatkan negara dan lindungi rakyat daripada pengiktirafan antarabangsa’ – PMX