Penganalisis saran rakyat Malaysia fokus sewa rumah daripada beli kalau tak nak terbeban kewangan

Oleh KIM SYAZIE

Seorang penganalisis mencadangkan agar rakyat Malaysia buat masa ini fokus untuk menyewa berbanding membeli rumah kerana semakin ramai yang akhirnya terbeban dari segi kewangan.

Lapor FMT,  harga purata untuk pangsapuri baharu di Malaysia mencecah RM582,887 pada suku pertama 2024, manakala purata harga jualan rumah ‘subsale’ ialah RM521,614, menurut laporan kumpulan teknologi hartanah Juwai IQI.

Harga ini lebih tinggi daripada harga purata rumah Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (Napic) sebanyak RM467,144 pada 2023. 

Harga hartanah dijangka meningkat dengan ketara pada separuh pertama 2024 berikutan peningkatan kos bahan binaan, dengan harga pembinaan dijangka meningkat sebanyak 15%.

Sehubungan itu, Felo Pusat Pendidikan Pasaran, Consilz Tan, berkata pemilikan rumah telah mewujudkan ‘perangkap hutang isi rumah’ yang membawa kepada krisis persaraan.

“Kita harus lebih fokus pada pasaran sewa dan bukannya pemilikan rumah.

“Tanpa perancangan kewangan dan peruntukan dana yang betul, seseorang itu tidak seharusnya terburu-buru berhutang perumahan hanya untuk memiliki rumah,” katanya memetik laporan FMT Business.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata 76.9% rakyat Malaysia memiliki rumah sendiri dan kerajaan berharap untuk melihat jumlah itu meningkat.

Sementara itu Tan berkata beliau menggemari skim sewa beli dan berharap lebih banyak institusi kewangan akan mengambil bahagian dalam inisiatif tersebut.

“Perlu ada versi rumah sewa PR1MA yang lebih baik dan Skim Smart Sewa to Ownership untuk peruntukan rumah yang lebih adil kepada pembeli rumah,” tambahnya.

Selain itu, Tan berkata Kementerian Kewangan perlu mempertimbangkan untuk melanjutkan inisiatif i-Miliki bagi mereka yang ingin membeli rumah pertama di pasaran sekunder.

“Mekanisme permohonan perlu telus dan data agregat perlu disediakan kepada orang ramai supaya kita mengetahui kadar pengambilan,” katanya.

i-Miliki ialah inisiatif kerajaan di mana pembeli rumah berharga RM500,000 dan ke bawah dikecualikan sepenuhnya daripada membayar duti setem ke atas memorandum perjanjian pemindahan dan pinjaman. Pembeli unit kediaman berharga melebihi RM500,000 dan sehingga RM1 juta mendapat pengecualian 75% daripada duti setem.

Inisiatif ini bermula pada 1 Jun 2022 tetapi berakhir pada 31 Dis 2023, namun terdapat gesaan supaya ia dilanjutkan.

Baca juga: Tak perlu tunggu 3 hari 3 malam! Ini cara ‘ekspress’ nak buat telur pindang