Penyanyi Datuk Seri Rossa mengakui ‘bahang’ kempen Blockout 2024 yang digerakkan dalam menunjukkan sokongan kepada rakyat Palestin lebih terasa di Malaysia berbanding di negaranya sendiri.
Kata Rossa atau Sri Rossa Roslaina Handayani, 46, dia tidak merasakan bahang yang sama di Indonesia kerana rakyat negara itu yang ramai dan mempunyai pemikiran berbeza.
“Sebenarnya, gerakan boikot di Indonesia tidak sekuat di Malaysia. Saya merasakan impak Blockout itu hanya di Malaysia.
“Di Indonesia ada sebahagian masyarakat mempunyai pemikiran masing-masing. Lagipun, lebih besar dan rakyatnya ramai,” katanya seperti dilapor BH.
Dalam perkembangan berkaitan, penyanyi Atas Nama Cinta itu memaklumkan meskipun gerakan boikot selebriti atau pempengaruh di Indonesia tidak sehebat di Malaysia, namun rakyat tetap menunjukkan solidariti terhadap saudara Islam di Palestin.
“Mereka juga mempunyai sikap solidariti tinggi. Ada sahaja perhimpunan memperjuangkan nasib rakyat di Palestin, setiap hujung minggu di Indonesia,” ujarnya ditemui pada sidang media Konsert Divas & Diamonds 2024 di sebuah hotel, di sini, hari ini.
Ditanya apakah pernah melalui pengalaman diboikot berkaitan dengan gerakan itu, Rossa berkata, perkara itu tidak berlaku kerana dia tidak pernah mempromosikan jenama produk yang menunjukkan sokongan terhadap Zionis.
“Sejak dahulu, saya tidak mempromosikan barangan jenama pro-Israel. Saya tak kisah kalau tujuan kerja seperti menghadiri acara.
“Tapi, kalau ia nampak ‘hard sell’, saya tidak akan melakukannya,” kata Rossa.
Terdahulu, gerakan Blockout 2024 diwujudkan bagi memboikot selebriti yang masih menjalinkan kerjasama dengan produk menyokong kekejaman Zionis di Palestin.
Gerakan itu dibuat sebagai meluahkan rasa kecewa terhadap sikap tidak peka selebriti tanah air yang tanpa rasa bersalah mempromosikan produk berkaitan dengan Israel dalam media sosial milik mereka.