Cuba masukkan kerajaan, PDRM dalam saman Global Royalty, permohonan Rosmah Mansor ditolak

Oleh MAISARAH AISYA

Permohonan isteri bekas Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Razak untuk memasukkan Kerajaan Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai pihak ketiga ditolak Mahkamah Tinggi.

Ini adalah berkaitan kes saman syarikat barang kemas Lebanon, Global Royalty Trading SAL (Global Royalty) terhadap Datin Seri Rosmah Mansor.

Menurut Harian Metro, peguam Reza Rahim yang mewakili Rosmah memaklumkan Hakim Ong Chee Kwan menolak permohonan itu,

Ia adalah atas alasan polis dan kerajaan secara prima facie bukan tortfeasor (entiti yang didapati melakukan kesalahan sivil dan mencederakan pihak lain) dan tidak bertanggungjawab untuk membayar pampasan kepada Rosmah bagi sebarang liabiliti dan kerugian.

Pada masa sama, Reza berkata, Rosmah bebas untuk memfailkan saman sivil baharu bagi sebarang kerugian yang mungkin dialami akibat tindakan polis dan kerajaan secara berasingan.

Tambah beliau, mahkamah kemudian menetapkan 2 Ogos ini bagi tarikh pengurusan kes lanjut dan 2 Jun hingga 6 Jun tahun depan bagi tarikh perbicaraan.

Pihaknya diarahkan anak guam untuk memfailkan rayuan terhadap keputusan itu hari ini di Mahkamah Rayuan.

Prosiding hari ini dijalankan melalui aplikasi Zoom.

Pada 27 November tahun lalu, Global Royalty dari Lubnan gagal dalam permohonannya supaya kes saman difailkan terhadap Rosmah yang dinamakan selaku defendan tunggal, diputuskan tanpa melalui perbicaraan.

Tuntutan saman yang difailkan Global Royalty itu bertujuan mendapatkan kembali 43 barang kemas bernilai RM67.4 juta yang didakwa diserahkan oleh ejen syarikat itu kepada Rosmah.

Baca juga: Rosmah disaman 11 syarikat termasuk 1MDB, tuntut kembali barangan mewah RM1.6 bilion