Seorang pereka fesyen berketurunan Palestin berkongsi rasa kesal apabila hasil kerja kerasnya diciplak oleh salah satu jenama tudung tempatan dari Malaysia.
Menurut pereka dikenali sebagai Sarah Musa itu, jenama terbabit telah memplagiat rekaan tudung suteranya yang bermotifkan bunga kebangsaan Palestin iaitu ‘poppyseed’.
Berdasarkan carian di laman web jualan, kesemua tudung dan skarf rekaan Sarah juga membawakan tema kefiyyeh yang menjadi lambang perjuangan rakyat Palestin menentang Israel.
Malah kesemua produk Sarah dikeluarkan oleh sebuah kilang kecil di Turki dan setiap keuntungan yang diraih daripada penjualannya itu akan disalurkan kepada masyarakat Palestin.
“Sebagai pereka Palestin, saya merasa terkejut kerana mereka mendakwa menyokong Palestin namun mencuri cetakan daripada pereka Palestin,” luah Sarah menerusi satu hantaran di Instagram Story miliknya.
Luahan Sarah Musa ini kemudian dikongsi semula di beberapa platform sosial media hingga menyebabkan rata-rata netizen berkongsi rasa malu dengan tindakan jenama tudung tempatan berkenaan.
Susulan menerima keceman hebat daripada orang ramai, pihak jenama tempatan itu akhirnya membuat permohonan maaf dan berjanji akan menghentikan penjualannya secara serta-merta.
Mendakwa telah menghubungi Sarah Musa, wakil syarikat yang beralamat di Bayan Lepas, Pulau Pinang itu bagaimanapun tidak memberikan penjelasan bagaimana kesilapan tersebut boleh terjadi.
Sarah bagaimanapun masih tidak berpuas hati dengan kenyataan daripada jenama tersebut kerana tidak mendedahkan butiran mengenai keuntungan yang mereka peroleh daripada penjualan tudung rekaannya.
“Malangnya, ketua pegawai eksekutif (CEO) jenama tersebut enggan berlaku telus mengenai keuntungan yang diperoleh daripada reka bentuk yang dicuri daripada kami.
“Kami juga tidak diberi peluang untuk memilih badan amal dan tidak tahu sama ada keuntungan yang diperoleh bakal didermakan ataupun tidak. Dia sangat sukar untuk dihubungi.
“Sebagai rakyat Palestin, saya meratapi nasib masyarakat kami. Perkara ini benar-benar meletihkan dan bukanlah tempat di mana saya mahu meletakkan masa atau tenaga saya.” Kesalnya.
Baca juga: ‘Complain’ nasi lembik, ayam berempah masam, pemilik ‘sembur’ pelanggan di ruangan komen