Setahun ‘struggle’ nak dapat kerja, Haneesya Hanee menangis lihat ibu gadai emas

Oleh MAISARAH AISYA

Ibu bapa mana yang mampu melihat anak sedang berada dalam fasa yang mereka sedar tak mampu menanggung diri dek kerana tiada kerja.

Apatah lagi dijaga oleh ibu atau bapa tunggal, mesti rasa perit melihat hanya satu individu bekerja keras untuk menampung hidup mereka.

Begitulah juga buat pelakon Haneesya Hanee yang mengakui merasa impak tiada kerja hingga si ibu terpaksa gadai atau jual emasnya semasa podcast Buka Mulut bersama Audio+.

Pernah menjadi juara Dewi Remaja 2018/2019, namun ditarik balik kemenangannya pada 17 Januari 2019 berikutan penyebaran rakaman video sedang berparti bersama rakan lain.

Haneesya mengakui tidak tawaran berlakon tahun ini dan merasakan faktor kewangan agak goyah.

“Tahun ini tak ada pengambaran langsung sekarang, bab kewangan memang tengah goyah sikit tapi rezeki tu sentiasa ada.

“Saya pun tak tahu dari mana datang (rezeki), adakala gelang emas mak saya kena pergi gadai dan bila ada duit saya pergi beli semula,” ujar Haneesya dalam temu bual tersebut.

Termarah mak, minta jangan jual emas

Pernah termarah mak sebab jual emas walaupun tahu niat si mak baik dan hanya membantunya.

“Pernah sampai satu tahap tu saya marah mak sebab jual emas. Penat saya kerja untuk mak melawa tapi mak jual, sebab dia tak nak bebankan.

“Ini yang jadi pemangkin semangat untuk terus mencari kerja,” tambahnya.

Ibu lebih tabah

Walaupun tidak berkongsi perjalanan hidup ibunya namun Haneesya mengakui ia adalah lebih berliku berbanding dirinya.

“Mummy Hanessya ni kuat dan saya nak jadi sekuat dia, apa yang saya lalui ni sikit jika dibandingkan dengan apa dia lalui.

“Liku hidup mak saya, MasyaAllah jauh lebih dahsyat,” katanya.

Baca juga: Memalukan Malaysia! Jenama tempatan kantoi ciplak rekaan kefiyyeh pereka Palestin