Tak sangka kuat penangan drama Aku Bukan Ustazah, keluarga India pun terjebak!

Oleh WAN SITI AMINAH

Siapa sangka, drama slot Akasia TV3 iaitu Aku Bukan Ustazah berjaya menarik minat penonton daripada pelbagai kaum di Malaysia termasuklah masyarakat India.

Perkara ini dapat dilihat menerusi satu rakaman video yang dikongsikan oleh seorang pengguna platform media sosial TikTok dikenali sebagai Anak Perempuan Muniandy.

Rakaman berdurasi 11 saat itu memaparkan seisi keluarganya yang kelihatan begitu khusyuk ketika menonton drama lakonan Erysha Emyra dan MK K-Clique tersebut.

Malah pemilik akaun juga mengakui sanggup melanggan satu aplikasi khusus untuk menonton drama Aku Bukan Ustazah itu supaya tidak ketinggalan di setiap episod.

“Selepas habis majlis, kita layan drama. Tak kira apa bangsa, melayan juga drama Aku Bukan Ustazah ini. Gigih melanggan aplikasi Tonton, boleh tengok awal,” katanya.

@lalamun90

Lepas majlis kito layan drama.Tak kira ape bangsa yer. Melayan jugak drama aku bukan ustazah nie.gigih subscribe tonton bole tgk awal. #akubukanustazah #tonton @erysha emyra @MK K-CLIQUE ❤️

♬ Suci Di Mana Kini Kau Berada – Rasyid

Tular di media sosial, rata-rata pengguna platform TikTok tidak menyangka bahawa drama yang disiarkan pada pukul 7 itu rupanya turut diminati oleh masyarakat India.

Ramai juga individu berkongsi pendapat bahawa jalan ceritanya yang menarik dan unik menjadi punca drama itu mendapat perhatian pelbagai kaum dan peringkat umur.

“Lawan hukum. Ini jarang-jarang berlaku,” kata seorang pengguna yang berkongsi rasa kagum selepas melihat perkongsian daripada Anak Perempuan Muniandy itu.

“Memang terbaik cerita ini. Sedih Aminah kahwin dengan Omar. Selepas itu terseksa Aminah. Geram betul dekat Omar.” Kongsi salah seorang penonton drama tersebut.

Berberapa pengguna yang merupakan bangsa Melayu malah tidak hairan dengan perkongsian itu memandangkan mereka juga gemar menonton drama dan filem Tamil.

Aku Bukan Ustazah adalah drama adaptasi novel arahan Idora Abdul yang dibintangi oleh Erysha Emyra, MK K-Clique, Zahiril Adzim, Shaza Bae dan ramai pelakon lain.

Baca juga: “Dah macam nak pergi umrah” – Tiket konsert Dolla hampir cecah RM10k untuk VVIP Box