Banyak kes seludup minyak jadi punca kerajaan laksana penyasaran subsidi diesel

Oleh MAISARAH AISYA

Subsidi tidak kira diesel atau barangan terkawal seharusnya dinikmati oleh rakyat Malaysia sahaja dan buka secara senang diberikan kepada bukan warganegara.

Acap kali kita mendengar isu minyak diesel diseludup dan di bawa ke negara jiran yang diketahui akan harga di sana jauh lebih mahal berbanding Malaysia.

Disebabkan itu kerajaan akan melaksanakan pengapungan harga minyak diesel susulan penyasaran subsidi diesel.

Menurut Bernama, ia adalah satu mekanisme dari kerajaan untuk membasmi aktiviti ketirisan melibatkan subsidi bahan api berkenaan yang disifatkan semakin berleluasa kebelakangan ini.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata subsidi diesel sebanyak RM1.4 billion yang direkodkan pada 2019, meningkat sepuluh kali ganda kepada RM 14.3 billion tahun lepas.

Faktornya ialah peningkatan jumlah diesel bersubsidi yang digunakan daripada 6.1 bilion liter pada 2019 kepada 10.8 billion liter tahun lepas, iaitu kenaikan lebih kurang 70 peratus.

“Kalau saya tengok daripada segi perkembangan ekonomi, dari segi kenaikan (jumlah) kenderaan diesel dalam negara, saya tidak boleh cari jumlah yang mengisi (kepada kenaikan 70 peratus itu).

“Jadi kita memahami ada sebab lain kenapa volume (kuantiti) diesel naik mendadak sebanyak 70 peratus dan kita rasa.

“Sebab kenaikan besar ialah kerana terdapat banyak ketirisan yang berlaku dalam negara,” kata Amir Hamzah seperti dipetik Bernama.

Pada masa sama, Amir Hamzah memakluman, perbezaan antara harga runcit diesel pada RM2.15 seliter dan harga pasaran juga dilihat sebagai peluang kepada sesetengah pihak untuk meraih keuntungan lebih besar.

Tambahan pula, katanya, terdapat perbezaan yang besar antara harga pasaran bahan api berbanding dengan negara jiran seperti di Thailand (RM4.12 seliter), Indonesia (RM4.73) dan Singapura (RM8.87).

Ini dilihat membuka peluang kepada pihak tidak bertanggungjawab untuk memindahkan bahan api berkenaan dari Malaysia ke negara lain.

“Jadi untuk kita mengurangkan ketirisan, cara yang paling logik sekali ialah kita apungkan harga. Bila kita (kerajaan) apungkan harga (diesel), perbezaan antara runcit dengan komersial, tiada,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, selain penguatkuasaan, pelbagai langkah lain perlu dilaksanakan untuk mengurangkan kadar ketirisan yang merugikan negara.

“Ketirisan di sempadan misalnya, kerajaan perlu fikirkan idea yang lebih kreatif selain tindakan penguatkuasaan.

“Contohnya apa yang Singapura buat kepada kita, jika hendak masuk ke Malaysia perlu periksa tangki minyak kenderaan (dengan nombor plat Singapura) sekurang-kurangnya ada tiga perempat.

“Mungkin kita boleh lakukan perkara sama tetapi reverse check (semakan berbalik) dan banyak lagi yang perlu dilakukan,” katanya.

Sungguhpun begitu, Amir Hamzah menekankan bahawa penyasaran subsidi yang sebelum ini secara pukal hanya akan dinikmati oleh pemilik kenderaan diesel yang layak.

Baca juga: Murid dijemur tengah panas kini dianggap OKU, Menteri Pendidikan sahkan siasatan