Baru-baru ini tular perkongsian daripada seorang lelaki yang tidak dapat tidur lena kerana terganggu dengan cahaya lampu papan iklan milik sebuah syarikat insurans.
Difahamkan, lampu papan iklan yang terletak berdekatan pusat beli-belah Mid Valley South Key, Johor Bharu itu terlalu terang hingga menggangu waktu tidur keluarganya.
Lelaki dikenali sebagai Dennis Tan itu turut memuat naik beberapa gambar sebagai bukti bahawa cahaya lampu tersebut sememangnya menimbulkan rasa tidak selesa.
Berdasarkan gambar itu, dapat dilihat cahaya terang berwarna merah tersebut turut berjaya menembusi tirai yang telah dipasang di tingkap bilik tidur keluarga Dennis.
“Hai AIA (syarikat insurans) cawangan Midvalley di Johor Bahru, papan tanda anda terlalu terang. Sangat menganggu,” tulis Dennis menerusi satu hantaran di laman Facebook.
Tular di media sosial, perkongsian Dennis itu berjaya mencuri tumpuan ramai dengan rata-ratanya berkongsi rasa simpati di atas nasib kurang baik yang menimpanya.
Ramai juga memberi cadangan supaya Dennis dan penduduk setempat yang terjejas membuat aduan kepada Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) supaya tindakan sewajarnya boleh diambil.
Malah ada juga individu yang memberikan komen mencuit hati kerana menyamakan situasi itu dengan menara milik Sauron dalam filem fiksyen Lord of the Rings (LOTR).
Namun dalam perkembangan terbaharu, syarikat insurans itu difahamkan sudah tidak lagi memasang lampu iklan susulan perkongsian Dennis tular dalam tempoh 24 jam.
Dennis dalam hantaran terbaharu menzahirkan ucapan terima kasih kepada syarikat AIA Malaysia dan MBJB di atas respon pantas yang diberikan oleh pihak berkenaan.
Lelaki itu juga berkongsi penghargaan khusus kepada pengguna Facebook yang lain kerana menularkan hantarannya sebelum ini sekali gus menyelesaikan masalah tersebut.
“Kuasa Facebook, hantaran tular dalam tempoh 24 jam. Buat masa ini, mereka (AIA Malaysia) menutup lampu itu buat sementara waktu. Terima kasih AIA Malaysia untuk respon pantas.
“Harapnya, papan tanda anda selepas ini dipasang dengan cahaya lampu yang lebih selesa dan terima kasih MBJB untuk respon. Saya sudah boleh tidur dengan aman dan bahagia,” kongsi lelaki terbabit.