6 wakil rakyat Bersatu sokong PM kini sah dilucutkan jawatan

Oleh MAISARAH AISYA

Sah, enam Ahli Parlimen dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu digugurkan keahlian serta-merta.

Ini adalah selepas mereka didakwa gagal menjawab surat arahan bertulis Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti untuk menzahirkan ikrar taat setia kepada parti itu.

Perkara tersebut dimaklumkan Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Memetik Berita Harian, Wan Ahmad Fayhsal menjelaskan keputusan tersebut diputuskan dalam mesyuarat baru-baru ini.

“Parti sudah bermesyuarat. Mereka (enam Ahli Parlimen dan seorang ADUN) gugur keahlian automatik,” katanya seperti dipetik Berita Harian.

Jawapan itu adalah menjawab mengenai keputusan parti dan tindakan terhadap enam Ahli Parlimen serta dua ADUN yang dipercayai tidak memberi respon terhadap surat arahan MPT itu.

Surat arahan itu dikeluarkan Bersatu kepada semua wakil rakyatnya sebelum ini bagi mereka menzahirkan pendirian berkaitan kesetiaan terhadap parti.

Ini dibuat susulan pindaan ke atas Fasal 10 dalam Perlembagaan Bersatu yang diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Sebelum ini Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kenyataan berasingan memaklumkan seramai 25 Ahli Parlimen dan 58 ADUN Bersatu sudah menandatangani surat menyatakan kesetiaan kepada parti itu.

Ia bermakna enam Ahli Parlimen iaitu mereka yang sebelum ini menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tidak mengemukakan sebarang maklum balas seperti diarahkan Bersatu.

Enam Ahli Parlimen yang dimaksudkan itu adalah Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal; Zahari Kechik (Jeli); Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang); Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).

Dua ADUN yang tidak mengemuka maklum balas surat arahan itu adalah ADUN Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari, Datuk Seri Amiruddin Shaari, sementara seorang lagi adalah Mohd Azizi, yang juga ADUN Nenggiri di Kelantan.

Dengan perkembangan terbaharu itu, Wan Ahmad Fayhsal mengesahkan Bersatu akan sekali lagi membawa keputusan berkaitan kedudukan wakil rakyatnya itu kepada pengetahuan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dalam masa terdekat.

“Ya,” katanya ketika diminta mengesahkan sama ada Bersatu akan sekali lagi mengemuka notis kepada Speaker Dewan Rakyat bagi menentukan kedudukan semua wakil rakyat berkenaan.

Baca juga: Lelaki lega akhirnya boleh tidur malam, masalah lampu ‘LOTR’ selesai lepas tular di media sosial