MB Kelantan akui kerajaan tak pernah sekat geran, tahun lepas dapat RM354.02 juta!

Oleh WAN SITI AMINAH

Kerajaan Persekutuan tidak pernah menyekat pemberian peruntukan geran tahunan kepada Kerajaan Kelantan, kata Menteri Besarnya, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

Jelas Mohd Nassuruddin, pemberian secara tahunan daripada Kerajaan Persekutuan itu terus diterima sejak beliau diamanahkan menjadi Menteri Besar negeri berkenaan.

Menurutnya, peruntukan tahunan yang diterima adalah dalam bentuk geran perkapita iaitu geran jalan, geran marris termasuklah geran lain yang berkaitan, lapor Berita Harian.

Perkara itu didedahkan Nassuruddin di dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan Penggal Kedua yang berlangsung di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu.

Sehubungan itu, beliau mewakili kerajaan Negeri merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Sejak saya diamanahkan menjadi Menteri Besar, tidak pernah disekat. Bagi 2019, geran yang diberikan adalah sebanyak RM272.55 juta, manakala pada 2020 geran diberikan RM296.98 juta.

“Sebanyak RM317.65 juta pula diberikan pada 2021, RM346.91 juta pada 2022 dan RM354.02 juta pada 2023. Anggaran bagi 2024 belum dapat diberikan kerana tertakluk kepada dasar yang ditetapkan kerajaan dari semasa ke semasa,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Nassuruddin berkata sedemikian ketika menjawab soalan dari Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim dalam persidangan tersebut pada Selasa.

Mohd Syahbuddin dalam soalan tambahannya ingin mengetahui sama ada Kerajaan Persekutuan ada menyekat mana-mana geran peruntukan untuk negeri berkenaan.

Mengulas lanjut, Nassuruddin yang juga ADUN Meranti itu juga memberitahu bahawa peruntukan yang diterima telah dimasukkan ke dalam Kumpulan Wang Disatukan.

Tambah Nassuruddin, saluran tersebut dibuat berdasarkan keutamaan perbelanjaan di dalam belanjawan negeri yang setiap tahun diaudit oleh pihak Ketua Audit Negara.

“Geran perkapita diberikan berasaskan kepada Perkara 109 Perlembagaan Persekutuan yang diserahkan mengikut keperluan negeri.” Ulasnya lagi.

Baca juga: 6 wakil rakyat Bersatu sokong PM kini sah dilucutkan jawatan