Tinjauan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mendapati 26.1 peratus responden berumur 60 tahun ke atas akan terus bekerja sehingga hadapi masalah kesihatan.
Ini kerana mereka menghadapi cabaran untuk mencapai jaminan pendapatan bagi membiayai keperluan persaraan mereka.
Perkara tersebut didedahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berpendapat sudah tiba masanya untuk Malaysia melakukan reformasi terhadap rangka kerja pencen dan persaraan bagi memastikan keselamatan kewangan, ekuiti untuk semua rakyat Malaysia
Beliau berkata, populasi warga emas lebih terdedah kepada kemiskinan berbanding rata-rata penduduk Malaysia yang lain, dengan hanya 29 peratus rakyat Malaysia mempunyai pencen atau pendapatan seperti pencen semasa bersara.
“Data KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) menunjukkan bahawa satu daripada empat ahlinya menghabiskan simpanan mereka dalam tempoh lima tahun selepas mencapai umur pengeluaran.
“Keadaan sekali gus akan menyebabkan ramai rakyat Malaysia tidak dapat mengekalkan taraf hidup yang munasabah semasa bersara atau menguruskan risiko kelanjutan usia,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa 2024 (ISWC 2024), semalam.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, terdapat keperluan untuk melakukan reformasi secara aktif kepada rangka kerja pencen Malaysia, bagi memastikan setiap generasi di negara ini dapat menjalani kehidupan usia tua dengan bermaruah.
“Penyelesaian baharu diperlukan dalam memastikan tiada sesiapa yang tertinggal dan setiap lapisan masyarakat mendapat manfaat daripada perlindungan sosial…
“Memperluaskan perlindungan KWSP secara berfasa, supaya lebih ramai populasi penduduk pada usia bekerja akan menjadi sebahagian daripada ekosistem KWSP yang akan memastikan lebih ramai rakyat Malaysia boleh mengumpul simpanan persaraan mencukupi, untuk hari tua mereka,” kata Anwar.
Baca juga: Tak sangka garam boleh selesaikan masalah tandas tersumbat, ini 6 langkah mudah lancarkan saluran