“Dunia runtuh bila doktor hulur bayi lelaki, tak sangka aku mampu buat kerja isteri tanpa bantuan wanita lain”

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang lelaki tidak menyangka perlu membesarkan tiga cahaya mata tanpa bantuan daripada insan dipanggilnya isteri selepas pemergian wanita itu ke dunia abadi.

Tidak pernah berniat mahu mencari pengganti, lelaki itu bersyukur kerana mampu lagi melakukan ‘tugas wanita’ dengan menguruskan anaknya tanpa bantuan orang lain.

Tampil berkongsi kisah di dalam rumah tangganya untuk membuktikan bahawa wanita taat itu masih lagi wujud, berikut perkongsian duka daripada sang duda anak tiga.

“Hai semua, panggil sahaja aku Durian. Maaflah kalau aku tak pandai menulis, cuma nak cerita betapa rindunya diri ini kepada isteri. Ya, belum pupus lagi wanita yang taat di atas dunia ini. Masa awal-awal berkahwin, arwah isteri aku memang tidak bekerja. Tetapi aku terima dia seadanya. Memang seorang isteri yang sangat baik.

“Sungguh Lillahi Taala aku kata, isteri memang seorang yang taat. Aku ada tiga cahaya mata. Mereka berusia tujuh, lima dan tiga tahun. Selang dua tahun seorang. Isteri aku sudah tiga tahun meninggal dunia. Tak sempat dia tengok anak kami yang ketiga. Isteri aku meninggal ketika melahirkan anak kami yang bongsu itu.

“Jadi akulah yang membesarkan anak-anak seorang diri. Hantar ke pengasuh, kemudian taska termasuk uruskan persekolahan mereka. Orang kata ini kerja perempuan. Tetapi aku berjaya buat kerja itu bertahun tanpa bantuan orang perempuan. Tak terfikir aku nak berkahwin lain. Arwah isteri aku seorang yang ceria. Sentiasa senyum. 

“Aku balik sahaja kerja, mesti isteri akan sambut dengan pemanis mulut dan air yang telah dia sediakan. Isteri juga sangat suka ‘membakar’, hampir setiap minggulah. Sekarang ini tengah tular ‘soft cookies’. Teringat pula kepada arwah. Dia tersangatlah sukakan ‘soft cookies’. Memang buatan arwah yang paling sedap kami pernah makan.

“Sebut sahajalah apa jenis pencuci mulut sekalipun, semua isteri pernah cuba buat. Semua kami sudah merasa. Memang cukup makanlah kalau duduk dengan dia. Anak sulung aku, perempuan. Setiap kali nampaklah gambar ‘soft cookies’ di media sosial, mesti dia akan cakap yang ibunya suka buat biskut itu dahulu untuk keluarga kami.

“Menangis aku dengar, jatuh air mata jantan. Salahkah aku jika merindui orang yang sudah tiada. Isteri kalau nak keluar, mesti akan telefon aku walaupun di depan rumah sahaja. Nak sidai kain pun minta izin dahulu. Setiap kali nak keluar rumah, memang dia akan telefon sampailah aku angkat. Selepas itu, barulah dia keluar.

“Memori yang paling diingati adalah ketika aku hadiahkan isteri produk dari Kitchen Aid berwarna merah. Melompat dia suka. Sebab dia memang suka betul jenama itu. Katanya sebab tengok Anna Olson pakai. Entah betul ke tidak aku eja nama Chef itu. Arwah juga sangat suka menulis. Tetapi tiada satu keburukan aku pun dia tulis.

“Selepas isteri pergi aku baca tulisan dia. Semua yang baik-baik sahajalah. Aku baca juga rutin harian, resepi dan sinopsis drama Korea yang dia tulis. Memang suka betul dia layan drama itu. Isteri juga tak pernah sekali pun marah atau jerit kepada aku. Itu adalah antara perkara yang membuatkan aku sayang sangat dekat dia.

“Tahun terakhir kami bersama adalah ketika isteri mengandungkan anak yang ketiga. Dia sihat sahaja mulanya. Sangat sihat. Pemeriksaan kesihatan anak dan ibu dahulu pun baik-baik sahaja. Siap pesan kalau jadi apa-apa dekat dia, segala hutang dan baki ganti puasa sudah ditulis dalam sebuah buku yang berwarna kuning.

“Mulanya aku iyakan sahaja, ingatkan isteri hanya bergurau. Tetapi pada 26 Jun, jam 4 pagi arwah isteri kejut aku. Sebabnya sudah rasa kontraksi nak bersalin. Tetapi dia cakap nak tunggu rasa sakit itu kerap datang dahulu barulah ke hospital. Kami pun tunggu sehingga pukul 7. Kemudian aku bawa ke hospital selepas dia minta.

“Tetapi aku tak boleh teman isteri bersalin sebab masa itu musim Covid19. Dia peluk, salam dan minta ampun sebelum masuk ke bilik bersalin sekiranya aku pernah terasa hati sepanjang kami bergelar suami isteri. Menantilah aku macam ayam berak kapur depan wad bersalin. Aku tengok ramai petugas kesihatan masuk ke kawasan itu.

“Mereka sampai berlari-lari. Aku tak syak apa-apa lagi mulanya. Sekali yang datang kepada aku hanyalah doktor, membawa seorang bayi lelaki. Katanya, isteri aku tak dapat diselamatkan. Jantung dia tiba-tiba berhenti selepas anak kami keluar. Tiada tindak balas langsung walaupun sudah buat bantuan penafasan.

“Sekelip mata aku kehilangan orang yang dicintai. Rasa nak runtuhlah dunia. Terkedu aku. Terus telefon mentua dan ibu ayah aku. Semua menangislah. Bayangkan batapa baiknya isteri, sampai ibu ayah aku yang berstatus mentua sampailah tak lalu makan dan hampir murung selepas menerima berita itu. Aku lagilah, bagai nak gila.

“Hampir setahun aku tak boleh nak jejak kaki ke rumah kami. Aku rasa macam isteri masih ada di dalam rumah itu. Melangkah masuk sahaja, menangis aku. Anak-anak jangan ceritalah. Si kakak selalu bertanya mana ibu. Dialah yang paling ingat sekali tentang ibunya. Sekarang pula cuti sekolah, lagilah dia selalu sebut.

“Kata dia, kalau cuti ibu suka pergi Cameron Highlands. Ya, isteri aku suka sangatlah pergi sebab katanya sejuk. Setiap tahun kami berkunjung ke situ. Sekarang aku bawa anak-anak sahaja, mesti akan teringatlah dekat isteri. Semoga syurgalah untuk isteri aku yang sangat-sangat taat,” kongsi Durian (Bukan nama sebenar).

Baca juga: Peniaga siap cakap rugi 50 peratus sebab ‘car free zone’, sekali ADUN turun terus ‘spin’ cerita