“Aku punya benci dekat suami sampai aku nekad nak tuntut fasakh masa mengandung, sampailah satu hari…”

Oleh MAISARAH AISYA

Sebab itu kita dinasihatkan untuk tidak buat keputusan saat emosi menguasai diri, bimbang menyesal di kemudian.

Siapa sahaja pun yang tersakiti, baik lelaki mahupun wanita pastinya akan sukar mempercayai pasangan.

Seorang wanita yang terasa dengan perbuatan suaminya nekad menuntut fasakh, tapi pada sebutan ketiga di mahkamah dia menukar keputusannya.

Di bawah adalah luahan yang dimuat naik di Facebook Kisah Rumah Tangga.

Aku sebelum ada anak, aku cukup benci dengan suami sendiri. Sampai tahap aku naik mahkamah buka fail tuntutan fasakh atas kesilapan yang suami aku buat.

Masa aku buka fail tu aku mengandung 15 minggu. Jadi, hakim tak bagi cerai la, dia suruh tunggu lepas pantang setelah melahirkan anak.

Berapa bulan kemudian aku pun selamatlah melahirkan baby yang comel dan masa melahirkan tu suami aku tu ada temankan aku dalam bilik bersalin, sebab dia yang nak teman. Ok habis cerita dekat situ.

Rasa sayu nak berpisah

Satu hari ni aku dengan suami aku pergilah naik mahkamah untuk sebutan yang ketiga. Aku memang nekad nak teruskan tuntutan fasakh tu.

Setibanya depan hakim dan hakim soal semula aku betul-betul nekad ke nak teruskan, aku tak tahu kenapa tiba-tiba aku jadi sebak, pilu dan teringat segala kebaikan yang suami aku pernah buat.

Kemudian, aku pun tak tahu ringan je mulut aku ni jawab “tuan hakim, saya nak tarik kes”. Aku tenang je jawab mcm tu. Yang tak bertenang adalah suami aku, mengalir airmata jantan dia.

Bila keluar je mahkamah tu macam-macam perasaan pula timbul, perasaan menyesal sebab tarik kes, yela takut lepas ni suami aku buat balik yang tak elok macam mana?

Kalau-kalau suami aku tak berubah juga? Macam mana kalau kali ni dia betul berubah? Apa salahnya aku bagi peluang? Aduh pening, aku berlawan dengan prasangka aku sendiri.

Dipendekkan cerita, aku bersyukur sangat dengan keputusan yang aku buat. Bagi peluang, suami aku betul-betul berubah.

Anak kami sekarang umur dah nak masuk dua tahun. Rutin harian aku simple, kemas rumah, masak, urus anak.

Sebelah petang aku dah boleh tarik nafas lega sebab suami aku tiap hari balik dari kerja dia akan tidur dulu kejap.

Sebelum maghrib dia mula mandikan anak, siap pakai pampers baju, minyak telon, bedak-bedak. Pastu turn aku pula bagi anak makan.

Lepas tu aku boleh santai main telefon, layan drama tv3, kadang Netflix, suami la yang layan anak tu sampai dua-dua tertidur.

Anak nak susu ke, berak ke suami yang setelkan. Sabtu ahad pula memang aku rasa tenang sangat, dia yang basuh kain, sidai kain.

Kadang tu kalau rajin dia yang masak makanan anak pepagi. Aku membuta smpai pikul 10 pagi. Bangun-bangun je aku tinggal masak makanan untuk kami berdua.

Kadang tu dia beli makanan kt luar, aku tinggal makan je. Aku bersyukur sangat. Tak sia-sia peluang yg aku bagi untuk rumah tangga kami.

Agaknye dia tak boleh lupa kot detik-detik dia teman aku masa dalam dewan bersalin tu. Dia hampir pengsan kot nampak kepala anak keluar. Motif

kenapa aku nak kongsi cerita aku ni, sebab aku yakin ramai yang tengah bergolak rumah tangga.

Nasihat aku, sebelum buat apa-apa keputusan yang kita sendiri tak yakin, cuba solat istikharah minta petunjuk.

Serahkan bulat-bulat diri kita, suami kita, rumah tangga kita pada Allah. Dan kalau kita ambil keputusan untuk pertahankan, kisah yang lalu jangan pernah diungkit lagi.

Cari kebaikan dan kelebihan pasangan, bukan keburukan dan kekurangan.

Baca juga: “Ikutkan hati nak saja halau kakak ipar, namun apakan daya rumah ini milik mentua”