Seorang pemuda sanggup meninggalkan kerjayanya sebagai doktor perubatan demi menceburkan diri dalam bidang perniagaan.
Dr Arjanggi Farizal, 35, berkata, dia mampu meraih pendapatan bulanan mencecah lima angka hanya dengan berniaga lauk pauk di tepi jalan.
Tidak hairanlah dia boleh memperoleh pendapatan sebesar itu kerana difahamkan Dr Arjanggi menyediakan lebih 50 jenis lauk pauk untuk dijual setiap hari.
Dr Arjanggi yang pernah berkhidmat selama setahun di sebuah hospital dekat Pekan Baru, Indonesia tidak menyesali keputusannya itu kerana mengakui minat dan jiwanya lebih cenderung dalam bidang keusahawanan berbanding perubatan.
Dr Arjanggi berkata, perniagaan itu dijalankan dengan modal permulaan RM300 dan bermula pada Mac 2020.
Pada awalnya, Dr Arjanggi hanya berniaga secara sambilan kerana bekerja sebagai penghantar barangan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Dia memulakan perniagaan dengan modal sebanyak RM300 pada tahun 2020.
“Ikutkan, tak ada modal langsung kerana isteri dulu pun kerja pramugari dan tak boleh kerja waktu itu (2020) kerana PKP.
“Duit yang ada pun memang cukup-cukup saja tapi selepas hari pertama berniaga, saya nampak dapat sambutan apabila dapat pulangan RM900 dengan modal RM300.
“Isteri pun banyak beri galakan dengan bantu ketengahkan perniagaan jadi itu yang buat saya bersemangat.
“Saya jual masakan Minang kerana saya memang berasal daripada keturunan itu, emak dan ayah pun orang Minang Malaysia jadi itu yang beri idea ketengahkan makanan berkenaan,” katanya seperti dilapor Harian Metro.
Sampai ke hari ini, Dr Arjanggi berkata, beliau sendiri akan memasak 40 hingga 50 jenis masakan dengan bangun seawal jam 5 pagi.
Katanya, tiada masalah untuk menyesuaikan diri kerana waktu kini lebih fleksibel berbanding ketika menjadi doktor kerana pernah tidur selama sebulan di hospital akibat tuntutan kerja.
“Saya memasak dengan bantuan pekerja yang terdiri daripada ahli keluarga dan isteri akan bantu periksa rasa kualiti makanan.
“Hasil sokongannya, perniagaan saya semakin baik dengan pendapatan kini mencecah lima angka sebulan dan kongsi di TikTok tahun lalu selepas dicadangkan anak saudara.
“Awalnya berbelah bagi juga (untuk kongsi) tapi kongsi di TikTok dengan niat nak beri inspirasi kepada orang lain terutama yang jatuh ketika tempoh pandemik Covid-19.
“Alhamdulillah, ramai hantar kiriman mesej ucap terima kasih dan ada juga doktor beri sokongan termasuk dalam kalangan rakan yang tak sangka saya akan terjun daripada dunia perubatan ke bidang perniagaan di kaki lima.
“Jujurnya, saya tak rindu atau ada perancangan nak jadi semula doktor tapi berharap dapat kembangkan lagi perniagaan masakan Minang supaya jadi ikon hingga dikenali sama ada di Asia atau luar negara,” katanya.