Demi sesuap nasi, bapa sanggup jalan dari Beranang ke Kajang demi 3 anak

Oleh MAISARAH AISYA

Kadang-kadang ada ibu bapa yang cuba sehabis baik untuk tidak menunjuk bahawa mereka sedang dilanda kesusahan.

Malah ibu bapa ini sanggup bersusah payah hanya kerana mahu memastikan anak kenyang biarpun diri sudah separuh nyawa.

Menerusi Facebook Nasi Kukus Kak Chiq, peniaga tersebut berkongsi kisah si bapa yang sanggup berjalan dari Beranang ke Kajang demi nasi buat anak-anak.

“Kisah pagi ini. Datang dari Beranang ke Kajang hanya dengan jalan kaki. Semalam abang ni ada wasap bertanya jika ada lebihan lauk Nasi Kukus Kak Chiq boleh ke sedekah untuk anak-anak dia (tiga orang).

“Tapi semalam jam 4 petang kami dah tutup. Kami cakap, kalau nak datang hari ni. Maka dia datang pagi ni dari beranang ke Tasmin Jasmin Kajang. Bertolak awal dari 7 pagi.

“Asyik terfikir awalnya dia nak datang, rupanya sebab dia datang jalan kaki ye gais. Sampai dekat kami baju dia habis dah lenjun berpeluh,” ujar hantaran di Facebook.

Rupanya lelaki tersebut sudah kehilangan punca pendapatan disebabkan motosikal rosak dan hanya siap dibaiki minggu hadapan.

Disebabkan tiada motosikal maka sukar mencari duit demi meneruskan kelangsungan hidup bersama isteri dan anak-anak.

Beri bantuan

Kagum akan usaha lelaki tersebut, pengguna Facebook tampil memberikan bantuan serta memesan Grab untuk membawa lelaki itu pulang.

“Jadi kami ada bagi sedikit barang keperluan sementara motor siap dan masuk kerja baru. Nak balik kami orderkan grab, tak gamak nak suruh dia balik jalan kaki lagi sekali.

“Semoga dipermudahkan urusan abang ni,” ujar pengguna Facebook tersebut.

Baca juga: “Dia dulu selalu suruh nenek masak lebih” – Cucu kongsi arwah atuk bawa bekal lebih untuk kawan-kawan