Deko rumah bukan main cantik, tindakan penyewa enggan bayar tunggakan RM124 sebulan tuai kritikan

Oleh WAN SITI AMINAH

Baru-baru ini tular satu rakaman memaparkan seorang wanita meninggikan suara kepada penjawat awam dipercayai berpunca dari tunggakan bayaran sewa rumah.

Menerusi video yang dimuat naik di laman TikTok itu, wanita terbabit turut memarahi penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerana menerjah rumahnya.

Wanita berkenaan juga sempat menuduh pihak berkuasa terbabit sengaja membuat ‘semak’ di kediamannya selain cuba untuk menjatuhkan bangsa sendiri yakni Melayu.

“Tak boleh ke nak bantu bangsa sendiri? Kita Melayu kot, kenapa tak nak menolong bangsa sendiri? Warga asing yang tengah meniaga di tepi jalan, tak nak pula pergi kacau.

“Tak payah semaklah. Datang semak dekat sini buat apa?,” kata wanita berkenaan di dalam video yang dipercayai dirakam dari arah dalam sebuah kediaman Program Perumahan Rakyat (PPR) di ibu kota itu.

Difahamkan, kedatangan pegawai DBKL di rumah itu adalah untuk menyelesaikan isu tunggakan bayaran sewa selama lapan bulan melibatkan pemilik kediaman terbabit.

@malaysiakantoi

dalam whatsapp group kata akak ni tak bayar sewa PPR 8 bulan. #fyp #madani #dbkl #kualalumpur

♬ original sound – Malaysia Kantoi – Malaysia Kantoi

Pegawai yang kelihatan tenang itu menjelaskan bahawa sewa bulanan untuk rumah tersebut hanyalah RM124 namun dibalas dengan jeritan daripada wanita berkenaan.

Wanita itu mendakwa dirinya kurang berkemampuan untuk membayar sewa kerana langsung tidak mempunyai wang, tambahan suaminya juga sedang terlantar sakit.

“Saya tengah susah. Suami saya sakit tahu tak. Memanglah sewa RM124 sebulan, tetapi saya tengah susah. RM50 pun saya tiada di dalam akaun,” jelas wanita itu.

Pegawai DBKL bagaimanapun sedia berunding dengan menyediakan pelan ansuran namun wanita itu tetap enggan melakukan sebarang pembayaran tunggakan sewa.

Tinjauan di ruangan komen mendapati rata-rata pengguna TikTok mempersoalkan keengganan wanita itu menjelaskan tunggakan sewa sedangkan bayaran dikenakan tidak terlalu mahal.

Ramai juga pengguna berkongsi rasa hairan bagaimana penyewa berkenaan tidak mampu mambayar sewa padahal dekorasi rumah tersebut dikatakan tampak mewah.

Baca juga: Demi sesuap nasi, bapa sanggup jalan dari Beranang ke Kajang demi 3 anak