Seorang wanita mengakui sudah tidak tahan lagi dengan sikap sang suami ‘frontliner’ yang terpaling mesra ketika menjalankan tugas terutamanya jika ada perempuan lain.
Lebih mengundang kemarahan, perempuan lain itu juga dengan rela melayan lelaki yang memegang status suami orang dan kekal berhubung meski di luar waktu bertugas.
Berikut perkongsian wanita dikenali sebagai Lily yang mula mencari jalan meneruskan kehidupan sekiranya suami meneruskan juga keinginannya untuk bercerai.
“Saya sudah berkahwin selama 2 tahun lebih. Kerap berdepan dengan pelbagai ujian perkahwinan yang datang dan pergi silih berganti. Salah satu ujian adalah perangai suami yang terlalu ‘friendly’. Dia bekerja sebagai ‘frontliner’ yang memerlukan banyak komunikasi bersama pelanggan. Akhirnya kantoi dengan salah seorang pelanggan.
“Perbualan antara suami dan pelanggan tersebut bukanlah mengenai kerja mahupun pembelian barang. Tetapi hanya perbualan kosong tanpa motif seperti, ‘Awak sudah makan? Sudah balik kerja? Sudah solat? Kalau belum, saya imamkan awak’. Sebagai seorang isteri, memang remuk hati baca perbualan suami dengan perempuan lain.
“Memanglah suami hantar pesanan kepada saya juga pada masa yang sama. Tetapi perlukah dia lakukan juga dengan orang lain? Perempuan itu juga melayan. Selepas saya mengamuk dan menyoal, dia kata pelanggan itu sudah lama dikenalinya sejak sebelum kami berkahwin lagi. Jadi kenapa? Apakah kaitannya dengan hal ini.
“Suami cakap dia buat macam itu sebab rasa dilayani. Habis itu selama ini isteri tak melayan ke? Ke sebab yang haram lebih menarik? Perempuan itu juga adalah hantar pesanan suara. Suami balas, ‘Lama tak dengan suara sedap macam ini’. Perempuan itu juga selalu muat naik kandungan berkaraoke di akaun TikTok miliknya.
“Akhirnya kami bergaduh besar dan saya tak mahu dengar lagilah penjelasan suami. Lalu suami kata dia tahu apa yang perlu dilakukan. Saya tanya adakah maksudnya kami perlu bercerai? Dia jawab YA. Hanya kerana perempuan bodoh itu suami mahu menceraikan saya. Hampir saya nak mesej perempuan itu dengan kata-kata makian.
“Namun tak kesampaian sebab aku dan suami berbaik semula. Tetapi mereka masih mengikuti akaun media sosial masing-masing. Nampaklah suami komen dan berikan tanda suka padanya. Dekat perempuan lain pun ada juga. Memang tak reti jaga hati isteri. Tahu isteri tak suka, tetapi buat juga. Mungkin hati aku tak penting untuk dia.
“Ujian kedua, suami jenis tak layan luahan hati aku. Sudahlah aku berjauhan dengan kawan-kawan rapat. Dulu setiap hari jumpa dan saling meluah perasaan. Sekarang tak boleh sebab masing-masing sudah berpindah tempat kerja. Nak harap kumpulan sembang berbunyi, sudah jarang. Lagipun tak seronoklah nak meluah dalam itu.
“Tempat kerja pula jenis berpuak-puak. Jadi, aku memang tiada kawan. Bermulalah hidup aku yang sunyi, tiada tempat meluah. Aku juga tiada anak sebab mempunyai beberapa masalah kesihatan. Jadi doktor belum benarkan aku mengandung. Malah kandungan sebelum ini juga gagal. Suami pula pandai mendengar isi hati aku.
“Tak pandai mendengar. Suami juga tak memberi sebarang respon terhadap luahan hati aku. Macam bercakap dengan dinding. Nak meluah dengan keluarga pun jarang dapat jumpa. Sampai aku rasa macam tiada suami. Hanya ada rumah, kereta, diberi makan. Tetapi nafkah batin (menjaga hati dan berikan layanan yang baik) itu tiada.
“Padahal hati ini sudah membuak-buak rasanya. Selalu aku menangis seorang diri di malam hari tanpa pengetahuan suami. Ujian seterusnya, suami nak cari pendapatan lebih. Jadi selesai kerja hakiki, dia sambung buat kerja sampingan. Tugas baharu itu waktunya fleksibel. Awalnya boleh sahaja pulang ke rumah dalam pukul 8 malam.
“Tetapi lama-kelamaan sampai rumah pukul 9, 10 sampailah 11 malam. Stok di dapur pula memang tiada. Jadi aku selalu tunggu suami bawa balik makanan. Adakalanya, aku terus tidur sebab penat bekerja dan malas makan. Paling aku tak suka, perangai suami yang malas mandi selepas balik kerja lewat. Makan kemudian terus baring.
“Rutin suami, dia akan tertidur sampai pagi tak mandi-mandi. Walaupun banyak kali sudah aku nasihati. Akhirnya esok pagi dia mandi dan terus pergi ke kerja. Kami juga tidur berasingan. Sebab suami akan tertidur di ruang tamu. Solat apatah lagi. Sudah berbulan-bulan perkara ini terjadi. Namun aku belum tegur lagi perangainya.
“Aku rasa macam nak mengamuk terus. Lebih baik kalau tiada duit lebih tetapi hidup teratur macam orang normal. Ini duit banyak tetapi hidup tak teratur, pakej pengotor. Nafkah batin? Sudah berbulan kami tidak bersama. Tak tahulah apa masalah suami. Sama ada dia terlampau penat dengan kerja atau hilang nafsu dekat isteri sendiri.
“Nafkah zahir juga sudah tiga bulan tiada, namun aku tidak pernah mempersoalkan. Sebab aku bukan jenis meminta-minta duit. Aku tahu nafkah adalah wajib. Sehingga banyak kali juga aku baca maklumat proses bercerai. Seperti hukum nafkah, nasihat orang berpengetahuan. Siap fikirkan cara hidup aku nanti selepas bercerai kelak.
“Adakah ini yang dinamakan tawar hati? Mentua juga bermasalah, tetapi aku malas nak ulas. Bukan tiada langsung perangai baik daripada suami. Tetapi itulah, tak tahu nak cakap macam mana. Mohon pendapat kalian semua. Harap tiadalah kecaman.” Tulis Lily (Bukan nama sebenar) menerusi sebuah forum atas talian.
Baca juga: Pelanggan terkejut kedai sekarang berani caj RM7 untuk teh O ais lemon