Baru tahu asam keping ada kegunaan lain, rendam dalam periuk kalau nasi cepat basi

Oleh WAN SITI AMINAH

Menanak nasi putih di dalam kuantiti yang banyak merupakan salah satu ‘amalan’ suri rumah untuk memastikan makanan cukup dinikmati oleh seisi keluarga.

Lebihan nasi yang tidak dapat dihabiskan pula boleh disimpan untuk diolah menjadi masakan baharu sebagai contohnya, nasi goreng buat sarapan keesokkan harinya.

Namun amalan ini juga boleh menjadi satu bentuk pembaziran sekiranya nasi putih yang telah dimasak dengan banyak itu basi dengan cepat tidak 24 jam ia disimpan.

Menerusi satu hantaran di laman Facebook, pemilik akaun yang dikenali sebagai Ida Shahida berpendapat situasi ini kemungkinan berpunca daripada keadaan periuk.

Jelasnya, periuk yang tidak dicuci dengan betul boleh menjadi salah satu punca nasi cepat basi lalu menyebabkan pembaziran sekiranya ditanak dalam kuantiti banyak.

Oleh yang demikian, Ida tampil berkongsi ilmu mencuci periuk dengan betul agar nasi dapat bertahan lama menggunakan dua bahan iaitu garam kasar dan asam keping.

1. Basuh periuk nasi dan tudung penutup bersih-bersih menggunakan sabun. Pastikan tiada baki nasi melekat tertinggal.

2. Masukkan garam kasar sebanyak tiga genggam penuh kemudian campurkan asam gelugur atau asam keping sebanyak 10 keping.

3. Tambah sedikit air supaya garam dan asam dapat bersatu (bercampur) dan bersihkan periuk dengan tangan selama tiga hingga empat minit.

4. Kemudian, biarkan rendaman tersebut selama 15 minit dan ulang langkah awal sehingga tiga ke empat kali. 

Jangan lupa untuk lakukan juga pada tudung penutup. Kemudian basuh periuk bersama penutup dengan sabun dan bilas bersih.

5. Akhir sekali, didihkan air dalam periuk tersebut selama 15 minit. Kemudian, tuangkan air didihan dan keringkan periuk.

“Sekiranya kejadian nasi basi berlaku lagi, ulang semula langkah di atas supaya periuk kembali bersih. Semoga bermanfaat!.” Katanya dalam satu hantaran dimuat naik di platform Facebook.

Semoga perkongsian ini bermanfaat dan dapat membantu mengatasi masalah nasi cepat basi.

Baca juga: “Setiap kali cuti sekolah rumah aku sesak, kakak ipar selalu bagi alasan tak reti ‘booking’ hotel…”