Kes lelaki serang Balai Polis Ulu Tiram, 5 ahli keluarga suspek didakwa terbabit ideologi IS

Oleh MAISARAH AISYA

Kes meruntun jiwa, apabila negara kehilangan dua anggota polis ditangan seorang lelaki yang menyerang Balai Polis Ulu Tiram, 17 Mei lalu.

Disebabkan itu, lima ahli keluarga suspek didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bharu atas sembilan pertuduhan berasingan.

Pertuduhan tersebut termasuk menggalakkan perbuatan pengganas dengan menanam ideologi keganasan kumpulan pengganas Islamic State (IS).

Menurut Harian Metro, tertuduh membabitkan bapa lelaki berkenaan, Radin Imran Radin Mohd Yassin, 62, dan ibunya, Rosna Jantan, 59, yang juga warga Singapura.

Turut didakwa, tiga adik beradik lelaki yang ditembak mati 17 Mei lalu, iaitu Radin Romyullah Radin Imran, 34, Farhah Sobrina Radin Imran, 23, dan Mariah Radin Imran, 19.

Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan selepas semua sembilan pertuduhan dibacakan kepada semua tertuduh di hadapan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.

Bapa semai ideologi pengganas kepada keluarga

Berhadapan empat pertuduhan, Radin Imran didakwa mengikut Seksyen 130G(a) Kanun Keseksaan (Akta 574).

Dia didakwa menggalakkan perbuatan pengganas dengan menanam fahaman ideologi keganasan yang berkait, kumpulan pengganas IS.

Fahaman itu didakwa telah disemai kepada semua anggota keluarganya membabitkan Radin Luqman, suspek serangan Balai Polis Ulu Tiram; isterinya serta tiga anaknya yang lain.

Simpan senjata api untuk jalankan aktiviti kumpulan isis

Bagi pertuduhan kedua, Radin Imran dituduh memberi sokongan kepada berlakunya perbuatan pengganas dengan menyimpan empat senjata api jenis senapang angin buatan sendiri.

Ia dikatakan untuk menjalankan aktiviti kumpulan pengganas IS, dan didakwa mengikut Seksyen 130J(1)(b) Kanun Keseksaan (Akta 574).

Dia dan anak sulungnya, Radin Romyullah turut berdepan pertuduhan memberi sokongan kepada IS dengan cara berbaiah kepada pemimpin kumpulan pengganas itu, Abu Bakar Al-Baghdadi. Dia didakwa mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan (Akta 574).

Anak miliki buku, cakera keras berkaitan kumpulan pengganas IS

Radin Imran turut didakwa memiliki buku bertajuk Hakikat Islam & Hakikat Syirik oleh Abu Sulaiman Aman Abdurrahman yang berkaitan kumpulan pengganas IS, dan didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan.

Radin Romyullah yang juga suspek kedua turut didakwa memiliki cakera keras yang mengandungi bahan berkaitan kumpulan IS dan perlakuan pengganas, dan didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan (Akta 574).

Bagi tertuduh ketiga hingga kelima, membabitkan Rosna, Farhah Sobrina dan Mariah pula, mereka didakwa sengaja tidak memberikan apa-apa maklumat berkaitan kesalahan dilakukan.

Ini membabitkan Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan (Akta 574) dan Seksyen 130G(a) Kanun Keseksaan (Akta 574) dan mereka didakwa mengikut Seksyen 130M Kanun Keseksaan (Akta 574).

Kesemua tertuduh berdepan hukuman penjara antara tujuh tahun hingga 40 tahun atau denda atau kedua-duanya, dengan semua harta yang digunakan bagi melakukan kesalahan itu hendaklah dirampas, jika sabit kesalahan.

Kesemua tertuduh didakwa melakukan kesalahan berkenaan di sebuah rumah di Jalan Rabani, Kampung Sungai Tiram, di sini, antara April 2017 hingga 17 Mei 2024.

Kes berkenaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Mustaffa P Kunyalam dan Fazeedah Faik. Bagaimanapun kesemua lima tertuduh tidak diwakili peguam.

Baca juga: Wanita saman majikan, tertekan selama 20 tahun dibayar gaji tapi tidak diberi sebarang tugasan