Budak lima tahun maut dirempuh van sekolah, pemandu sangka murid lalu belakang

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun maut dirempuh van sekolah di hadapan kediamannya di Jalan Suria, Bandar Seri Alam, Pasir Gudang, Johor.

Kejadian berlaku sekitar 11.35 pagi ketika pemandu van itu menurunkan mangsa dan abangnya berusia enam tahun yang juga murid pra sekolah di depan rumah mereka.

Menurut Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak, pemandu meneruskan perjalanan selepas melihat abang mangsa melepasi van sekolah melalui belakang kenderaan itu.

Beranggapan kanak-kanak perempuan itu turut mengekori abangnya, pemandu mula bergerak sebelum merempuh mangsa yang lalu di hadapan van, lapor Harian Metro.

“Pemandu kemudian turun untuk melihat kanak-kanak itu dan memaklumkan kepada ibu mangsa sebelum dibawa ke Klinik Kesihatan Masai untuk rawatan.

“Akibat kejadian, mangsa parah dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan,” katanya memetik laporan Harian Metro.

Mengulas lanjut mengenai kejadian yang berlaku pada Rabu itu, Mohd Sohaimi memberitahu pemandu iaitu seorang wanita tempatan berusia 50 tahun telah ditahan.

Penahanan wanita tersebut bertujuan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 menyebabkan kematian kerana memandu melulu dan merbahaya.

Semoga pemandu van sekolah mengambil pengajaran daripada insiden ini dengan bersikap lebih berwaspada dan diharapkan ibu bapa menasihati anak-anak untuk berhati-hati sebelum melintas jalan.

Baca juga: Formula kerajaan berhasil, penyeludup diesel tersepit, tak dapat lagi ‘sebat’ subsidi Malaysia