Baru-baru ini, Malaysia dikejutkan dengan kemalangan melibatkan seorang kanak-kanak perempuan yang dirempuh van sekolah di hadapan rumahnya di Pasir Gudang, Johor.
Akibat daripada insiden tersebut, kanak-kanak berusia lima tahun itu cedera parah lalu dibawa ibunya ke Klinik Kesihatan Masai sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.
Kejadian berlaku pada Rabu, sekitar 11.35 pagi ketika pemandu van itu menurunkan mangsa dan abangnya berusia enam tahun yang juga murid pra sekolah di hadapan rumah mereka.
Pemandu mendakwa perjalanan diteruskan selepas melihat abang mangsa melepasi van sekolah melalui belakang kenderaan dan beranggapan kanak-kanak perempuan itu turut berjalan ke arah sama.
Sangkaan wanita berusia 50 tahun itu bagaimanapun dikatakan meleset selepas van sekolah dipandunya malah merempuh mangsa yang lalu di hadapan kenderaan berkenaan.
Dalam perkembangan terbaharu, ibu kepada mangsa mendakwa pemandu terbabit sebenarnya memberi kenyataan tidak betul mengenai kejadian kemalangan maut melibatkan anaknya itu.
Wanita dikenali sebagai Karmin Kahil itu mendakwa menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) jiran, anak lelakinya iaitu Muhammad Afieq Miqhael Nuljin didapati berjalan di hadapan van sekolah bukan seperti dakwaan pemandu.
Ibu berusia 39 tahun itu berharap rakaman tersebut dapat membantu siasatan polis serta memperjelaskan beberapa kekeliruan dalam kejadian yang menimpa anaknya, Nurhafizah, lapor Berita Harian.
“Pemandu mendakwa Nurhafizah mengekori abangnya dan mereka berjalan di belakang van. Tetapi rakaman CCTV menunjukkan pergerakan Muhammad Afieq Miqhael di hadapan kenderaan itu dan diikuti arwah.
“Kami sekeluarga bersyukur kerana sekurang-kurangnya, jiran berkongsi rakaman CCTV bagi merungkai kejadian menimpa Nurhafizah,” katanya memetik laporan Berita Harian.
Jelas Karmin, biasanya waktu kepulangan kedua-dua anaknya itu ke rumah adalah berbeza sehingga menyebabkan wanita berkenaan tidak menunggu mereka di hadapan pagar.
“Apa pun alasan yang diberikan pemandu itu, ia tetap berpunca daripada kecuaiannya.” Tegas wanita terbabit berharap anaknya menerima keadilan yang sewajarnya.
Baca juga: Budak lima tahun maut dirempuh van sekolah, pemandu sangka murid lalu belakang