Penyeludup minyak makin berani, lepas tiga das tembakan ke arah anggota kastam

Oleh WAN SITI AMINAH

Sepasukan anggota dan pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) diancam oleh penyeludup minyak petrol serta diesel ketika cuba mematahkan aktiviti haram itu, Rabu lalu.

Penyeludup berkenaan turut melepaskan tiga das tembakan ke arah anggota JKDM dalam kejadian yang berlaku di Sungai Golok berhampiran pangkalan haram Pok Mat di Kampung Simpangan, Tumpat, Kelantan itu.

Menurut Pengarah JKDM Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long, kejadian itu berlaku pada jam 9.45 pagi ketika lima anggota penguat kuasa sedang menjalankan rondaan air di sekitar kampung berkenaan.

Setibanya di kawasan itu, anggota bertugas telah melihat 15 buah bot berenjin galah sedang melakukan aktiviti pemunggahan dipercayai melibatkan minyak petrol dan diesel, lapor Sinar Harian.

“Pasukan merapati salah sebuah bot berenjin galah yang sarat dengan muatan tong yang dipercayai mengandungi bahan bakar tersebut dimana bot berkenaan berada di tebing pangkalan haram.

“Salah seorang pegawai kemudian bertindak melompat masuk ke dalam bot berenjin galah terbabit,” katanya di dalam satu kenyataan memetik laporan Sinar Harian.

Pada masa sama, penyeludup juga cuba melarikan diri dengan melompat ke atas bot kawannya yang datang untuk membantu sebelum bertindak mengacukan pistol ke arah anggota JKDM.

Penguat kuasa JKDM kemudian cuba menghadang bot jabatan bagi melindungi tiga orang pegawai apabila penyeludup melepaskan dua das tembakan ke arah udara ketika melarikan diri ke arah Thailand.

Satu das tembakan sekali lagi dilepaskan penyeludup ke arah pasukan operasi JKDM semasa mereka menarik bot kes dan membuat pusingan ke arah Kuala Tak Bai untuk dibawa pulang.

Pasukan operasi kemudian mempercepatkan bot jabatan untuk berpusing sehingga menyebabkan bot milik penyeludup yang sarat dengan bahan bakar itu tenggelam.

Jelas Wan Jamal Abdul Salam, pasukan JKDM lalu bertindak memotong tali bot enjin galah tersebut dan terus memecut meninggalkan lokasi untuk memastikan keselamatan pegawai.

Semua pasukan operasi dapat menyelamatkan diri dari ancaman tembakan ugutan yang dilakukan oleh penyeludup namun kejadian ini tidak melunturkan semangat JKDM memerangi aktiviti penyeludupan,

“Cabaran dan halangan semasa menjalankan tugas penguatkuasaan adalah satu rutin yang perlu JKDM tempuhi demi menjaga keselamatan dan mengawal ketirisan hasil negara.

“Ancaman-ancaman seperti ini sedikitpun tidak pernah melunturkan semangat warga kerja JKDM dan akan terus komited dalam menguatkuasakan undang-undang.” Ulasnya.

Baca juga: Formula kerajaan berhasil, penyeludup diesel tersepit, tak dapat lagi ‘sebat’ subsidi Malaysia