Berselindung di sebalik kedai aksesori telefon, penduduk Kelantan buat laporan polis, dakwa banyak premis judi

Oleh MAISARAH AISYA

Adalah menjadi satu kesalahan untuk mempunyai premis judi di Kelantan namun masih ada pihak cuba mengambil kesempatan disebalik perniagaan lain.

Lebih mengejutkan individu tersebut memiliki perniagaan sah untuk mengkaburi mata penduduk agar tidak kantoi aktiviti perjudian.

Disebabkan itu, sekumpulan penduduk di negeri ini mendakwa lebih 40 premis judi dalam talian beroperasi secara aktif di beberapa daerah di Kelantan.

Menurut Harian Metro, penduduk kampung memaklumkan aktiviti tersebut berselindung di sebalik kedai aksesori telefon.

Aktiviti itu dikesan di beberapa daerah termasuk Tanah Merah, Pasir Mas dan Kota Bharu yang didakwa beroperasi sejak lima tahun lalu.

Wakil penduduk, Noor Hafsham Halim, 36, dari Kampung Padang Tembak, di sini, berkata, dia dan rakannya turut mempunyai bukti rakaman video dan gambar berhubung aktiviti berkenaan.

“Hari ini (semalam) kami tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu berhubung premis judi dalam talian yang semakin banyak di Kelantan.

“Kita mendapati kebanyakan premis ini berselindung di sebalik kedai aksesori telefon.

“Tujuan laporan polis dibuat supaya tindakan tegas diambil terhadap premis berkenaan,” katanya seperti dipetik Harian Metro.

Tambahnya, pihak mereka turut menyalurkan maklumat kepada pihak polis berhubung senarai premis yang dipercayai terbabit dengan aktiviti terlarang itu.

Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun memaklumkan pihaknya akan menjalankan risikan terhadap dakwaan berkenaan.

Ujarnya, kegiatan judi talian di Kelantan lebih tinggi berbanding judi lain dan 83 kes direkodkan dari Januari sehingga semalam dengan 48 kes sudah dituduh di mahkamah.

“Kegiatan judi dalam talian disiasat mengikut Seksyen 4(1) (C) Akta Rumah Judi Terbuka 1953/4B(a),” katanya.

Baca juga: Tak sampai 2 minggu menabung, wanita ini tunjuk berjaya simpan lebih RM19,000