“Selagi janda-janda saya tak berkahwin, selagi itu juga saya tak kahwin” – Datuk Red

Oleh WAN SITI AMINAH

Ahli perniagaan sensasi, Datuk Red sentiasa bersiap sedia sekiranya bekas isterinya iaitu Sharifah Norshafila dan penyanyi, Adira Suhaimi ingin kembali ke pangkuannya.

Oleh yang demikian, pemilik nama sebenar Datuk Seri Adnan Abu itu bernekad untuk kekal menduda sehinggalah bekas isterinya meluahkan hasrat mahu rujuk semula.

Usahawan berusia 46 tahun itu bagaimanapun akan menerima dengan hati terbuka andainya kedua-dua jandanya ditakdirkan untuk bertemu jodoh bersama orang lain.

Perkara tersebut diakui sendiri oleh Datuk Red menerusi satu sesi siaran langsung di akaun TikTok miliknya yang sempat dirakam dan dikongsi semula di platform sama.

“Selagi janda-janda saya tidak berkahwin, selagi itu jugalah saya tak akan kahwin. Maknanya saya berada di dalam ‘mode standby’ (keadaan bersedia). Saya tunggu sahaja tawaran (rujuk) daripada mereka.

“Tetapi kalau mereka sudah berkahwin (dengan orang lain), nak buat apa lagikan?,” kata Datuk Red sambil mempromosikan produk berupa sambal yang dijualnya untuk melunaskan hutang.

Konflik rumah tangga Datuk Red bermula apabila isteri keduanya, Adira atau Siti Adira Suhaimi memfailkan penceraian pada 25 Oktober 2023 dengan alasan tiada lagi persefahaman.

Beberapa bulan selepas itu, isteri pertamanya, Datin Seri Sharifah Norshafila yang dikenali ramai dengan gelaran Datin Red pula memfailkan penceraian pada Januari lalu.

Usahawan itu kemudian membuat pendedahan sekitar bulan Mac tentang status dirinya yang diisytihar muflis sejak lima tahun lalu dan kini sedang mencari pekerjaan untuk menyara kehidupan dua isteri dan anak-anaknya.

Sementara itu, Datuk Red di dalam siaran langsung yang sama menegaskan bahawa niat untuk kembali berkahwin bukan berlandaskan nafsu sebaliknya lebih memikirkan tentang kehidupan di hari tua.

“Saya ini terfikir nak kahwin semula sebab untuk hidup, sakit dan pening di hari tua nanti. Tak akanlah saya mahu menyusahkan anak-anak atau adik-beradik pula. Jadi saya nak kahwin bukan lagi kerana nafsu.” Jelas Datuk Red.

Sekadar info, usahawan berkenaan sah bercerai talak satu dengan isteri keduanya, Adira Suhaimi pada 24 April yang lalu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat.

Ahli perniagaan yang kini muflis itu turut menceraikan isteri pertama, Sharifah Norshafila Hashim di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Kuala Selangor pada 14 Mei lalu.

Baca juga: Rizman Ruzaini mendunia lagi, kali ini busana digayakan Lady Gaga di Las Vegas