Isteri dikejar ke IJN kerana alahan teruk, Jamal Abdillah nak ‘tutup kilang’ lepas anak ke-7 lahir

Oleh MALAYSIADATELINE

Penyanyi legenda, Datuk Jamal Abdillah bakal dikurniakan anak ketujuh di usia 65 tahun selepas isterinya iaitu Datin Zai Izzati Khiruddin disahkan hamil dua bulan.

Walau bagaimanapun, Datin Zai Izzati kini sedang dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) akibat alahan mengandung yang teruk selain turut mengalami muntah-muntah.

Memetik Berita Harian, Jamal mulanya berniat untuk merahsiakan kehamilan kelima isterinya namun membuat keputusan mendedahkannya bagi mewujudkan kesedaran.

“Saya nak berkongsi dengan rakan-rakan supaya berhati-hatilah mengambil ubat. Ini kerana pengambilan ubat akan memberi kesan kepada jantung. Isteri saya muntah-muntah hingga membuatkan jantungnya bengkak.

“Perkara ini sangat merisaukan saya. Saya bukanlah mahu berkongsi khabar tentang kehamilan, tetapi mengenai isu kesihatan yang dilaluinya. Kita kena sama-sama beringat, jangan sampai jadi kepada orang lain,” katanya.

Menurut Jamal, isterinya yang mengalami alahan teruk itu mulanya dirawat selama empat hari di sebuah hospital swasta sebelum dibenarkan untuk pulang ke rumah.

Datin Zai Izzati bagaimanapun dihantar semula ke hospital berikutan masih muntah-muntah sehingga tidak boleh makan langsung sebelum dirujukkan pula kepada IJN.

“Kemudiannya isteri masuk kembali ke hospital selama empat hari, jadi lapan harilah. Bayangkan tak makan lapan hari. Itulah sebabnya dipercayai ada masalah jantung. Bila perut kosong, gastrik pun datang.

“Diharapkan isteri segera sembuh, saya melihatnya. Tetapi sekarang sudah nampak ada perkembangan positif. Isteri juga semakin ceria, Alhamdulillah,” ujar penyanyi yang digelar Raja Pop itu.

Mengulas lanjut mengenai kehamilan isterinya, Jamal menyifatkan perkara tersebut sebagai kurniaan rezeki daripada Allah SWT yang dipertanggungjawab ke atasnya.

Pemilik nama sebenar Jamal Ubaidillah Mohd Ali dan isterinya juga merancang untuk mengikat peranakan selepas kelahiran bayi mereka dijangka pada awal tahun depan.

“Ini adalah rezeki. Mungkin Allah nak menunjukkan kasih sayang kepada saya, jadi berikan tanggungjawab sebagai bapa kepada tujuh cahaya mata ini. Dapatlah tebus dosa silam dan cahaya mata ini juga rezeki.

“Anak-anak adalah terapi dan hiburan saya. Sebenarnya saya sudah buat keputusan untuk tidak mahu lagi ada bayi baharu selepas kelahiran anak keempat. Tetapi rezeki pula yang datang.

“Jadi, saya sudah bersepakat dengan isteri. Kena ‘ikatlah’ selepas melahirkan anak kelima ini,” katanya yang mendirikan rumah tangga bersama Zai Izzati pada 1 April 2017 lalu.

Hasil perkongsian hidup, pasangan itu dikurniakan empat cahaya mata iaitu Nur Azura Yamani, 5, El Isaac Yamani, 4, Iskandar Rayyan Yamani, 2 dan Rahil Laura Salsabila Yamani yang kini berusia setahun.

Jamal juga memiliki dua cahaya mata lelaki iaitu penyanyi, Osama Yamani, 21, dan Ahmad Zaki Yamani yang kini berusia 17 tahun hasil dari dua perkahwinan terdahulu.

Baca juga: Shuhada dedah ‘chat’ tak senonoh Hafidz Roshdi, bongkar punca cerai dengan bekas suami