Lelaki rebah lepas menang ‘jackpot’ RM14 juta, teruja sampai kena serangan jantung

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang lelaki dilaporkan rebah di lantai kasino Marina Bay Sands, Singapura setelah memperoleh keuntungan besar berjumlah S$4 juta atau sekitar RM14.09 juta.

Difahamkan, lelaki itu melompat kegirangan dalam kasino yang sesak sebaik menjadi pemenang sebelum tiba-tiba rebah di lantai sambil meletakkan tangan di dadanya.

Satu rakaman video yang memaparkan mangsa tidak sedarkan diri berdekatan meja perjudian itu turut ditularkan di pelbagai laman media sosial termasuk di platform X.

Menerusi hantaran tersebut, dapat dilihat orang ramai yang terdiri daripada pemain tampak panik menyaksikan kakitangan kasino cuba menyedarkan lelaki berkenaan.

Beberapa kakitangan dikatakan merayu agar lelaki yang terbaring tidak bermaya di atas lantai itu untuk terus bertahan sementara menunggu bantuan perubatan tiba.

Pengguna platform X (dahulunya dikenali sebagai Twitter) menyangka lelaki terbabit meninggal dunia ekoran tubuh badannya langsung tidak bergerak selepas ditemui rebah.

Kejadian mencemaskan itu dikatakan berlaku di sebuah pusat perjudian popular di Singapura pada Sabtu, 22 Jun lalu, lapor media antarabangsa iaitu The Sun.

Nasib bagaimanapun masih menyebelahi lelaki terbabit kerana berjaya diselamatkan dan dijangka akan membawa pulang wang bernilai RM14.09 juta itu tidak lama lagi.

Pemenang yang segera dikejarkan ke hospital selepas terjatuh itu dikhabarkan belum bersedia kembali ke kasino bagi ‘mengutip cip’ ekoran berada dalam proses pemulihan.

Nampaknya beberapa siri kejadian yang berlaku ke atas pemain terbabit membuktikan bahawa lelaki berkenaan sememangnya ‘beruntung’.

Baca juga: Perlu bayar saman sebelum keluar dari negara, MOT beri amaran keras kepada kenderaan asing