“Mama, kenapa kawan selalu sangat ejek Kakak cakap Papa macam perempuan?”

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang remaja perempuan sudah tidak dapat menahan rasa malu berikutan sering diejek rakan sekolah mengenai penampilan ‘papa’ baharunya.

Remaja terbabit juga mengakui lebih selesa hidup bertiga bersama ibu dan adiknya selepas bapa kandungnya pergi meninggalkan keluarga mereka demi perempuan lain.

Merayu supaya ibunya berpisah dengan ‘papa’ baharunya itu, berikut penderitaan seorang remaja diakibatkan oleh sikap orang tua mereka yang mementingkan diri sendiri.

“Ini adalah luahan hati Kakak kepada Mama. Sebabnya, Kakak tak tahu nak luahkan kepada siapa lagi. Andai kata mama terbaca luahan ini, kakak mahu memohon maaf sangat-sangat. Kakak sayang mama. Tak lama dahulu, kita sekeluarga sama sahaja macam orang lain. Ada Mama, Papa, Kakak dan juga Adik.

“Namun semuanya berubah selepas Papa ada perempuan lain. Akhirnya Mama dan Papa berpisah. Maka kami dua beradik duduk dengan Mama. Namun bukan itu yang ingin Kakak ceritakan. Tetapi apa yang terjadi selepas itu. Mama ada kawan dengan seorang perempuan selepas berpisah dengan Papa.

“Kawan itu sama tempat kerja dengan Mama. Tetapi kawan perempuan Mama ini nampak macam lelaki. Rambutnya pendek, pakai kemeja-T bersama seluar pendek. Dengan gelang dan rantai besar. Macam lelaki ‘gengster’ itu. Yang tak seronoknya, kawan Mama ini tinggal sekali dengan kita semua.

“Kakak tidur satu bilik. Adik pula duduk di bilik lain. Mama dengan kawan itu pula, tidur sekali. Keluar pun, bersama-sama dengan kami. Sudah seperti ahli keluargalah pula dengan kita. Sampai kawan-kawan Kakak dekat sekolah pun sudah tegur. ‘Kenapa aku tengok Papa kau macam perempuan ya?’, soal mereka.

“Mama, Kakak dengan Adik malu. Kawan-kawan pun selalu ejek. Kakak takde kawan. Tiada sesiapa nak kawan dengan kami. Adik pula baran. Selalulah dia nak bergaduh dengan orang, lagi-lagi kalau mereka sebut tentang Mama. Kakak nak tanya, Mama lesbian ke? Sebab Kakak baca orang lesbian ada perasaan dekat wanita lain.

“Maafkan Kakak, Mama. Hari itu, Kakak ada tertengok telefon bimbit Mama. Nampak Mama simpan nombor kawan itu dengan nama ‘sayang’. Mama bercinta ke dengan perempuan yang macam lelaki itu? Masa dekat rumah, Kakak pernah terdengar yang Mama bergaduh besar dengan kawan itu sebab dia ada perempuan lain.

“Mama, tak boleh ke tinggalkan sahaja kawan Mama itu? Tak bolehkah kita ini hidup bertiga sahaja? Mama, Kakak dengan Adik. Kakak janjilah akan belajar bersungguh-sungguh sampai dapat kerja yang bagus. Kakak akan jaga Mama. Tolonglah mama. Kakak dengan Adik sayang Mama. Tinggalkan semua itu, Mama.

“Walaupun Kakak ini budak sekolah lagi, tetapi Kakak tahu apa yang Mama buat itu berdosa. Tolong Mama, pleaseee… Kakak rindukan kita semua macam dulu. Harap-harap satu hari nanti. Kakak doakan Mama. Mama pun doa jugalah, tau. Kami semua sayang mama.” Kongsi remaja terbabit di sebuah forum atas talian.

Baca juga: “Last kantoi tengok video tak senonoh, aku ugut nak minta cerai, sampai sekarang suami tak sentuh aku”