‘Sampai lekat ke dinding muncung dia’, rakyat Malaysia terhibur tengok abang bomba pujuk anjing merajuk

Oleh KIM SYAZIE

Gelagat seekor anjing yang duduk di atas balkoni di sebuah bangunan dipercayai kerana merajuk, mengundang rasa lucu dalam kalangan pengguna media sosial.

Apa yang membuatkan ramai terhibur, abang bomba yang tidak bersalah juga terpaksa duduk di balkoni memujuk haiwan jinak itu.

Walaupun dipujuk berkali-kali dengan makanan, anjing itu tetap juga memandang ke dinding dan tidak menghiraukan abang bomba di sebelah.

Bahkan apabila dilihat, semakin dipujuk semakin galak pula haiwan bijak ini merajuk!

Kehadiran empat lagi anggota bomba yang setia menunggu di belakang juga menjadi topik bualan kerana mereka terlihat begitu akur menunggu anjing itu dipujuk.

Video gelagat comel anjing ini ada dikongsikan pengguna TikTok Rusli Achok yang kemudian mendapat hampir 80,000 tanda suka dan lebih 9,200 perkongsian.

Rata-rata warga maya yang meninggalkan komen di video berkenaan mengumpamakan gelagat merajuk haiwan itu saling tidak tumpah dengan sikap perempuan.

Mereka juga berbangga dengan kepakaran dan kemampuan anggota bomba yang sentiasa ada untuk menyelesaikan sebesar-besar kes sehingga sekecil kes seperti anjing merajuk.

“Dari kes berat-berat sampai kes anjing merajuk abam bomba kena pujuk eh, hebat lah,” kata @zierasyamikhail.

“Muka melekat dekat dinding oo dia punya merajuk,” komen pula @Mr. XoXO.

“Halah halah kemain dia punya merajuk tu…sampai melekap muka dekat dinding ye,” tulis @Ain.

Baca juga: “Auto nampak mahal”, Bos Mydin relaks pakai baju batik jenama sendiri, tak kisah pun sarung baju RM20