Kempen solidariti bersama pasukan Selangor FC menerima sambutan luar biasa dari peminat sukan bola sepak, kata Menteri Besar negeri itu iaitu Amirudin Shari.
Hal ini ekoran tabung yang dilancarkan Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) berjaya mengumpul dana lebih RM20,000 dalam tempoh kurang 24 jam selepas dilancarkan.
Amirudin menerusi satu hantaran di akaun X berkata, penyumbang Tabung Solidariti Selangor FC itu datang daripada rakyat serata Malaysia termasuk Sabah dan Johor.
“Sambutan luar biasa terhadap kempen Solidariti Bersama Selangor FC. Dana yang terkumpul telah mencecah RM20,000 (di dalam tempoh) kurang 24 jam dilancarkan.
“Para penyumbang hadir daripada seluruh negara. Dari Sabah hingga Johor, rakyat bersolidariti. Ini keindahan sukan bola sepak. Terima kasih,” katanya dalam hantaran tersebut.
Tabung yang dibuka sehingga 2 Julai depan itu dilancarkan untuk memberi peluang kepada peminat bola sepak menzahirkan sokongan melalui sumbangan serendah RM1.
Hasil sumbangan itu akan diserahkan kepada Selangor FC untuk membantu mereka memperjuangkan keadilan terhadap hukuman dikenakan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).
Difahamkan, hukuman dikenakan ekoran ketidakhadiran pasukan berkenaan dalam perlawanan Piala Sumbangsih menentang pasukan Johor Darul Ta’azim (JDT) pada 10 Mei lalu.
Selangor FC dikenakan denda RM100,000 dan pemotongan tiga mata dalam saingan Liga Super 2024/2025 selain diarahkan untuk membayar pampasan kerugian yang ditanggung pasukan JDT selaku tuan rumah.
Bagaimanapun dalam perkembangan terbaharu, MFL mengumumkan akan meringankan hukuman selepas Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa kecewa dan murka dengan keputusan agensi itu.
Denda dikurangkan daripada RM100,000 menjadi RM60,000 manakala hukuman pemotongan tiga mata pertandingan dalam Liga Super 2024/2025 dan perlawanan tanpa penonton dibatalkan.
Baca juga: Dulu jenama tudung gah, usahawan selebriti kini berdepan 5 kes, terima waran tangkap