Satu rakaman memaparkan pertemuan seorang gadis, Nurhidayah Abdullah dengan ibu kandungnya selepas 27 tahun berpisah berjaya meruntun jiwa orang ramai, baru-baru ini.
Tampil menceritakan kisah sebenar, Nurhidayah memaklumkan ibu kandungnya yang berbangsa India iaitu P Murugamah, 51, itu menyerahkannya kepada ibu dan bapa angkat ketika berusia dua hari kerana berdepan masalah keluarga.
Selepas diserahkan melalui orang tengah, Nurhidayah dijaga dan dibesarkan dengan penuh kasih sayang seperti anak kandung sendiri oleh ibu bapa angkatnya, Jamilah Mohammad, 57, dan Omar Ismail yang kini berusia 62 tahun.
Gadis yang bekerja sebagai kakitangan swasta itu mula mengetahui status sebenar dirinya selepas diberitahu ibu dan bapa angkat sewaktu tadika namun mereka tidak pernah mengajarnya membenci keluarga kandung, lapor Harian Metro.
“Umi dan ayah menjaga saya dan memberi perhatian serta pendidikan dengan baik. Ketika di tadika, mereka beritahu status saya sebagai anak angkat tetapi tak pernah mengajar membenci mak kandung.
“Umi juga selalu cakap kalau sudah besar nanti saya mahu cari mak kandung, dia tidak akan larang. Mereka juga beri tengok gambar mak ketika menyerahkan saya 27 tahun lalu,” katanya memetik laporan Harian Metro.
Menetap di Seremban, Negeri Sembilan, Nurhidayah mengakui mula terbuka hati untuk mencari ibu kandungnya selepas bekerja sebelum melakukan usaha pencarian sejak pertengahan bulan ini.
Usahanya membuahkan hasil dan dimudahkan oleh Allah SWT selepas menemukan alamat rumah ibu kandungnya yang terletak di Beranang, Selangor tidak lama selepas memulakan pencarian.
“Saya memang sedih dan marah kerana mak kandung sanggup serahkan anaknya kepada orang. Namun di sebalik itu, saya bersyukur ditemukan dengan umi dan ayah yang sanggup menjaga seperti anak kandung mereka sendiri.
“Apabila sudah dewasa dan bekerja, saya mahu tahu alasan mak serahkan anaknya kepada keluarga angkat. Sebab itu saya cuba mencarinya dan tak sangka Allah SWT mudahkan” ujarnya yang memberitahu ibu bapa angkatnya berpisah ketika dia berusia 15 tahun.
Nurhidayah kemudian meminta rakan untuk menemaninya ke rumah ibu kandung dan tidak dapat menahan sebak apabila melihat wajah wanita terbabit buat kali pertama di hadapan matanya.
“Saya minta rakan bertanya sama ada ia rumah mak. Selepas itu, barulah saya menghampiri mereka sebelum menyerahkan surat yang memang sudah ditulis untuk mak. Sebab saya tak kuat nak bercakap siapa saya di depannya.
“Selepas anak saudara mak selesai baca surat itu, mak terus bertanya adakah saya benar Aisha berulang kali. Aisha adalah nama asal saya yang diberikan mak ketika dilahirkan.
“Apabila saya mengiyakan saya adalah Aisha dan salam tangannya terus dia peluk dan kami menangis bersama,” cerita Nurhidayah yang mengatakan perasaannya bercampur baur apabila berasa gembira, sedih dan terkejut.
Gadis itu bagaimanapun sudah merasa lega sebaik sahaja mengetahui alasan ibu kandungnya menyerahkannya kepada keluarga angkat meskipun ia sememangnya menyedihkannya.
“Mak cakap walaupun sekarang kami sudah berbeza agama, tetapi saya tetap anak kandungnya. Mak minta saya menjadi seorang Muslim yang baik serta terus menjaga agama saya.
“Kami berbual tiga sehingga empat jam dan saya sudah tahu alasan mak serahkan anaknya. Saya belajar untuk pujuk hati dan menerimanya kerana apa yang berlaku ini adalah takdir Allah. Lega apabila yang terbuku di hati sudah ada jawapan.
“Mak cakap setiap kali ulang tahun kelahiran saya, dia akan ucapkan selamat hari jadi dan selalu tanya di mana dan bagaimana kehidupan saya. Itu juga membuatkan saya sedih kerana seorang mak tetap rindukan anaknya,” ulasnya lagi.
Jelas Nurhidayah, ibu bapa angkatnya tahu dia sudah berjumpa ibu kandungnya dan penerimaan mereka juga baik selain mahu menemukan kedua ibunya tidak lama lagi.
“Saya melalui kehidupan yang tidak mudah kerana terima banyak kata negatif ekoran status dan perbezaan antara saya dengan umi dan ayah. Tetapi saya sangat sayangkan mereka yang besarkan saya dengan penuh kasih sayang.
“Saya juga bersyukur dapat bertemu dengan mak yang melahirkan saya. Kerana apapun yang berlaku, mak tetap ibu kandung saya,” jelas gadis yang tular di TikTok pada Sabtu lalu selepas video pertemuan tersebut dimuat naik oleh rakannya.
Baca juga: “Flat T20 ke ni?” – Penghantar makanan berang, pemilik siap pasang pagar jeriji berkunci