Seorang wanita terpaksa berdepan dengan detik sukar di dalam kehidupannya selepas diceraikan oleh suami ketika usianya baru mencecah 24 tahun.
Kehilangan tempat bergantung, wanita berkenaan hanya mampu menumpang kasih dengan bapa saudara ekoran kedua ibu bapanya meninggal dunia akibat kemalangan.
Nekad mahu berhijrah ke Australia, berikut perkongsian wanita yang merasa begitu terluka apabila suami tercinta mengingkari janji selepas berjumpa dengan kekasih lama.
“Saya Aishah, seorang anak tunggal yang telah kematian ibu bapa ketika berusia 16 tahun akibat kemalangan jalan raya. Selepas kejadian itu, saya tinggal dengan Poksu iaitu adik bongsu kepada ayah bersama isteri dan anak-anaknya. Ketika berumur 19 tahun, Pokngah beritahu kenalannya ingin meminang saya untuk anak mereka.
“Pokngah ini adik kedua arwah ayah. Mulanya saya menolak juga sebab rasa terlalu muda. Tetapi saya setuju selepas memikirkan status diri yang tiada ibu bapa selain tak mahu menyusahkan kedua bapa saudara. Empat bulan selepas majlis meminang, saya berkahwin. Suami merupakan seorang lelaki yang baik dan berduit.
“Sebabnya sebelum berkahwin, suami sudah ada kedai barangan logam (hardware) sendiri di bandar pantai timur. Kami sangat bahagia, nafkah tidak pernah culas dan apa yang saya mahu semua diturutinya. Namun selama lima tahun kami mendirikan rumah tangga, tidak dikurniakan rezeki untuk menimang zuriat sendiri.
“Ketika sedang menikmati kebahagiaan, tiba-tiba suami saya minta izin untuk kahwin lain dengan ‘junior’ dia di universiti dahulu. Wanita itu janda anak dua. Ketika itu, rasa macam dunia saya gelap dan kosong. Tipulah kalau saya tak sedih. Tetapi apa yang boleh saya buat? Seharian saya berfikir dan salahkan diri sendiri.
“Dalam kepala waktu itu tertanya, ‘Apakah salah aku? Apa kurangnya aku?’. Setelah dipujuk berkali-kali, saya relakan walaupun berat hati. Saya memohon kepada suami untuk berlaku adil, sayangkan dan tak abaikan diri ini. Dia setuju dan berjanji. Namun janji tinggal janji. Selepas berkahwin baru, memanglah suami ada balik rumah.
“Tetapi suami hanya pulang rumah pada minggu pertama berkahwin. Itu pun tiga hari sahaja. Selebihnya tak balik langsung selama 3 bulan lebih. Hanya nafkah zahir tidak diabaikan. Suami juga masih berhubung dengan saya walaupun jarang-jarang. Saya ada menghantar pesanan bertanya kenapa dia tak balik rumah. Katanya sibuk.
“Padahal, hari-hari saya tengok suami buat siaran langsung dengan bini mudanya di aplikasi TikTok. Saya rasa sunyi, sedih dan murung. Dia fikir dengan duit, dapat buat saya gembira. Namun hakikatnya, jiwa saya kosong. Mujur ada Pokngah dan Poksu sekeluarga selalu menghubungi dan membuat panggilan video untuk tanya khabar.
“Memang dari dahulu lagi, mereka sentiasa mengambil berat walaupun saya sudah berkahwin. Saya tiada sesiapa di dalam hidup selain suami dan mereka sekeluarga. Pada satu hari, saya nekad pergi ke mahkamah untuk bercerai dengan alasan tidak diberikan nafkah batin selama tiga bulan lebih. Suami juga tidak balik jenguk saya.
“Saya sudah tawar hati. Mahkamah ada menghantar surat, suami hanya datang dan menceraikan saya begitu sahaja. Allahu, memang ujian saya. Umur 24 tahun, tetapi saya sudah bergelar janda. Selepas bercerai, saya pindah ke rumah Poksu di pinggir bandar di pantai timur. Saya dapat pekerjaan di sebuah kedai serbaneka 24 jam.
“Siang malam saya bekerja walaupun bertugas separuh masa di kedai itu. Kalau syif pagi, malam itu saya bantu sepupu belah ibu bungkuskan ‘parcel’ atau jadi ‘affiliate’. Keluarga belah ibu juga semuanya baik-baik. Tetapi semua sudah berusia. Saya juga berkunjung ke rumah mereka pada musim perayaan.
“Selepas bercerai, saya berkerja dengan bersungguh-sungguh. Saya simpan semua duit mutaah yang bekas suami berikan. Kumpul gaji, untung meniaga dan sedikit duit peninggalan ibu dan ayah. Saya sudah nekad mahu meninggalkan negara ini. Terlalu sakit hati apabila teringatkan bekas suami saya yang begitu mudah lupakan janji.
“Hidup saya kosong. Saya nak larikan diri daripada semua ini. Saya selalu menonton siaran langsung orang Malaysia yang bekerja di Australia dahulu. Ketika itu, tengah bersedih sampai terfikir nak lari ke Australia kalau jadi apa-apa dalam rumah tangga saya. Betul terjadi, Allah uji saya dengan perceraian di usia yang muda.
“Saya ada bincang dengan Poksu dan Pokngah nak berhijah dan bekerja di Australia. Mereka macam tak setuju sebab risaukan saya seorang diri tanpa kenalan. Lagi pula saya perempuan. Tetapi saya menangis semahu-mahunya nak pergi juga. Sebabnya saya rasa kosong di sini. Nak bawa diri saya dan nak lupakan semuanya.
“Sejujurnya saya tak boleh menerima penceraian ini. Saya terlalu sayangkan bekas suami. Tetapi siapalah kita untuk menidakkan ujian Tuhan. Akhirnya, Poksu dan juga Pokngah izinkan dengan berat hati. Dalam masa lapan bulan saya kerja keras untuk kumpul duit selepas iddah. Saya buat pasport dan mohon visa.
“ Alhamdulillah, visa saya lulus dalam masa 24 jam. Saya sudah membeli tiket dan bernekad akan ke sana tidak lama lagi.” Tulis wanita berkenaan berkongsi luahan hatinya menerusi satu hantaran yang dimuat naik di sebuah forum atas talian.
Baca juga: Simpan ‘surat cinta’ 9 tahun lepas, Norman Hakim kongsi detik kelahiran Marissa