“Aku mainkan wanita sampai sanggup bagi cincin ‘tanda’, tapi isteri aku yang terima kifarahnya”

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang lelaki merasa bimbang sekiranya isteri tersayang menderita akibat daripada perbuatannya dahulu yang suka mempermainkan wanita.

Difahamkan, lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Z itu sanggup melakukan pelbagai perkara hanya untuk mendapatkan kepercayaan wanita termasuklah dengan memberikan cincin tanda.

Berikut perkongsian Z menerusi sebuah forum atas talian mengenai penderitaan dialami isterinya selain berharap wanita yang pernah dipermainkannya memberikan kemaafan.

“Aku Z, seorang lelaki yang berusia awal 30-an. Masa muda dahulu biasalah, zaman nakal belum habis. Asyik bertukar teman wanita. Tetapi aku ini kalau tengok dari luar, tak nampak jahat pun. Sebab aku memang suka berbuat baik dengan semua orang. Cuma satu sahaja kelemahan yang aku ada iaitu perempuan.

“Sebagai lelaki, aku ini ada rupalah. Berpelajaran, berjaya menamatkan pengajian di sebauh universiti di New Zealand. Latar belakang keluarga juga hebat-hebat. Arwah mak dan ayah bergelar profesor. Kakak dan abang bekerja sebagai doktor. Aku pula merupakan seorang jurutera yang berjayalah sekarang.

“Memang sejak dulu, tiada perempuan yang pernah tolak aku. Sekarang aku sudah mendirikan rumah tangga selama dua tahun. Isteri aku juga seorang jurutera. Antara faktor yang membuatkan aku pilih dia sebagai isteri adalah berpelajaran, ada ijazah sarjana (master), dan juga anak kepada orang senang.

“Tetapi ada satu perkara yang sampai sekarang buat aku tak tenang. Masih ingatlah doa daripada sesorang yang pernah aku sakitkan hatinya. Kata perempuan itu, ‘Saya doakan suatu hari nanti Allah datangkan kekecewaan kepada awak. Kekecewaan itu datang dari isteri awak sendiri’. Wanita itu juga enggan maafkan aku.

“Itulah doa daripada teman wanita aku yang terakhir sebelum menikahi isteriku yang sekarang. Aku ada ramai bekas kekasih. Memang selalu putus sebab aku tak serius. Aku cepat bosan dan senang curang. Biasalah, darah muda. Berapa ramai yang aku pernah sakitkan hati. Ramai jugalah mendoakan yang tak baik untuk aku.

“Tetapi bekas kekasih yang terakhir ini aku paling terkesan. Sebab aku rasa dengan dia, paling teruk kena. Wanita itu juga sangat ikhlas dengan aku ketika itu. Tiga tahun lepas ketika umur masuk 30 tahun, aku rasa nak berkahwin. Malas nak mainkan hati anak orang lagi. Aku masuk bekerja di syarikat baharu masa itu.

“Aku terjumpa seorang pekerja yang lebih muda, namanya N. Budak baru lepas habis belajar. Dia protege aku, cantik dan muda. Wanita itulah isteri aku sekarang. N inilah wanita impian aku. Memiliki ciri-ciri yang aku cari. Tetapi N ini kan macam konservatif sedikit. Budak baik, lepasan daripada sebuah universiti Islamik.

“Aku dengar kakak-kakak dekat pejabat cakap budak N ini masih bujang. Tetapi dia memang tak minat bercinta. Aku dengar macam itu, tak ajaklah dia bercinta. Hanya minat dari jauh sahaja. Dalam masa yang sama, aku kenal seorang wanita bernama K. Sebaya dengan aku, umur 30. Cantik, nampak muda macam baru 25 tahun.

“Wanita kedua ini bekerjaya juga. Memiliki kerjaya yang stabil, berdikari dan cantik. Dia cakap masih bujang sebab trauma, pernah hampir nak bertunang tetapi putus sebab lelaki itu curang. Aku cakaplah dekat dia nak kenal secara serius. Tak tahulah apa yang ada di fikiran aku ketika itu. Rasa sunyi dan nak peneman.

“Tetapi dalam hati aku, masih mahukan N iaitu budak sepejabat itu. K ini terima aku, tetapi dia cakap tak sanggup nak trauma lagi. Jadi kali ini kalau nak berkawan betul-betul, jumpa sahaja dengan ibu bapa dia. Selepas kenal beberapa bulan, aku terus jumpa ibu bapa K sebab nak dapatkan kepercayaan dia.

“Gadis yang aku minat iaitu N agak sibuk sedikitlah. Sebabnya dia ada kelas master selepas waktu bekerja. Jadi memang tiada masa nak melayan aku keluar bersama. Waktu ini aku gunalah K sebagai peneman. Sangguplah jemput dia depan rumah dan minta izin ibu bapanya. Asalkan, masa aku terisi.

“Ibu bapa kepada K memang nampak gembira sejak anak dia berkawan dengan aku. Sebab K memang berkenalan secara serius, aku terpaksalah jual ayat-ayat nak ajak berkahwin dan sembang pasal masa depan. Kewangan K sudah stabil, jadi nampak dia ada rancangan nak buat majlis. Keluar makan pun kadang-kadang dia bayarkan.

“Memang K sejenis wanita yang matang dan tak berkira. Perempuan umur macam ini memang memahami. Dia jarang ‘periksa’ aku sangat. Jadi aku ada masa untuk cuba mendekati N. Ajak makan tengah hari bersama. Kalau dia tak ada kelas, aku ajaklah makan malam pula. Semakin lama, N mula melayan dan menunjukkan minat.

“Tetapi sebab N muda lagi, jadi dia belum bersedia lagilah nak berkahwin. Hubungan aku dengan K pula nak masuk setahun. Tetapi aku gunakan dia sebagai peneman sementara berkenalan dengan N. Memanglah K baik dan cantik tetapi aku tiada hati dengan dia. Oleh kerana K sudah berusia, dia selalu tanya pasal kahwin.

“Aku asyik tangguh dengan pelbagai alasan. Ada masalah kerjalah, tekanan sebab mak tak sihatlah. Masa itu, arwah mak memang tak sihat. K inilah yang ambil berat. Kalau aku balik kampung, tak pernah lupa kirim buah tangan kepada mak aku. Ibu bapa K ada tanya pasal kahwin. Aku tak tahu nak jawab macam mana.

“Tak fikir panjang, aku serahkan sahaja cincin ‘tanda’ kepada K. Kalau jadi apa-apa, belakang kira. Aku juga keliru dengan diri sendiri, suka sangat buat keputusan secara melulu. K nampak gembira. Keluarga besar dia juga sudah kecoh dengan isu kahwin. Tetapi hidup aku macam biasalah. Waktu bekerja banyak habiskan masa dengan N.

“Kadang-kadang malam selepas bekerja, aku ajak K jumpa. Hujung minggu dengan K juga sebab belum rasmi ada hubungan dengan N. Setiap hari bercakap dengan K dalam telefon, sembang tentang masa depan. Aku rasa seronoklah sebab K memang layan baik-baik. Tiba-tiba, N ajak aku berjumpa. 

“Wanita yang aku minat itu sudah bersedia nak berkahwin tahun depan. N kata, dia sudah buat solat sunat istikharah. Katanya, dia mula suka sebab setiap kali masuk waktu, aku terus solat. Kewangan aku juga sudah stabil. Aku teruslah jumpa ibu bapa N. Bincang pasal kahwin. Aku juga beritahu keluarga nak buat persiapan kahwin.

“Keluarga memang tak tahu selama ini aku bercinta dengan K. Aku selalunya cakap, tengah berkawan dengan seseorang. Jadi waktu nak kenalkan dengan N, mak aku tanyalah wanita yang mana. Adakah wanita yang pernah hadiahkan mak telekung. Padahal kiriman itu semua daripada K. Masa itu, aku rasa bersalah.

“Aku cakap dekat mak dengan wanita lain. Sudah tiada jodohlah dengan wanita yang selalu kirimkan barang itu. Sedangkan N tidak pernah berusaha nak ambil hati mak aku. Mulalah aku pening. Dengan K, aku sudah beri harapan. Dengan N, aku sudah aturkan perjumpaan dengan keluarga. Tak tahulah nak cakap apa dekat K. 

“Terfikir juga mesti K akan rasa sakit sangat-sangat. Sebab dia pernah cakap yang hubungan kami adalah usaha terakhir dia. Kalau tak jadi juga, K memang tak naklah berkahwin. Sebab dia pernah trauma teruk dengan bekas kekasihnya. Aku diamkan diri selama seminggu. Aku cakap dekat dia kononnya tengah tertekan.

“Tetapi dalam masa seminggu itu juga, K cuba ambil hati aku. Siap hantar tempahan makanan ke rumah sewa aku. Dia percaya aku tertekan. Sedangkan aku pula tengah bergembira dengan N, sudah cari cincin kahwin. Tidak lama kemudian, K berdepan dengan aku. Dia tanya ada wanita lain ke. Sebab dia mimpi aku ada wanita lain.

“Mimpi itu datang selepas K buat solat sunat istikharah. Aku terkejut tetapi tetap tak mengaku. Pendekkkan cerita, aku tinggalkan K. Aku cakap tak bolehlah nak teruskan hubungan ini. Aku ingat lagi selepas itu, dia cakap tak akan maafkan aku. Tetapi aku terus block (sekat) dia. Lima bulan kemudian aku kahwin dengan N. 

“Sekarang sudah hampir dua tahun kami berkahwin. N tak pernah tahu kewujudan K. Selepas kahwin, N buat pengakuan. Hormon dia tak stabil dari remaja. Dia pernahlah tak datang haid dalam tempoh hampir satu tahun. Adakalanya setahun sekali sahaja datang bulan. Kadang-kadang, dua kali sahaja keluar darah dalam setahun.

“Kata N, dia takut nak cakap sebelum kahwin. Siapalah yang tak kecewa, tetapi aku reda sahaja. Sekarang kami masih belum ada anak. Tahun lepas, isteri aku disahkan menghidap Sindrom Ovari Polisistik (PCOS) setelah melakukan pemeriksaan. Kerana keadaan kesihatan itu, berat badan N naik mendadak.

“Isteri aku juga mengalami keresahan yang melampau disebabkan masalah hormon yang tidak seimbang. Beberapa bulan lalu, N menangis teresak-esak selepas kakak aku umumkan dia mengandung. N sampai kata dia tak bersedia nak balik kampung. Dia rasa malu dengan keluarga aku. Padahal mereka tak cakap apa, baik sahaja.

“Aku juga kena sentiasa bersabar nak uruskan emosi dia. Kadang-kadang ada rasa nak mengalah. Tetapi hadap jugalah sebab ini pilihan ‘terbaik’ aku dahulu. Cuma aku teringat doa K, ‘semoga kekecewaan itu datang dari isteri awak sendiri’. Baru-baru ini, aku pergi masjid. Aku berikan sedekah dan niatkan atas nama K. 

“Sebabnya aku ada terbaca bahawa itulah salah satu cara sekiranya ada melakukan kesalahan kepada seseorang. Selain K, ramai jugalah wanita aku pernah permainkan sebelum ini. Untuk K, aku harap kau jumpa jodoh yang terbaik. Buat para pembaca, doakan isteri aku pulih dan kami dikurniakan zuriat. Isteri aku tak salah.” Kongsinya.

Baca juga: “Bekas suami datang cari aku balik, dia tak tahan isteri dia hutang keliling pinggang”