Selepas digugurkan dari Salam Baitullah, kini Suria FM umum Ustaz Don tidak bersiaran lagi di radio

Oleh KIM SYAZIE

Selepas pendakwah terkenal, Ustaz Don Daniyal Don Biyajid direhatkan terus dari program Salam Baitullah kendalian TV RTM, kini Suria FM pula mengumumkan penceramah itu tidak akan bersiaran lagi di radio.

Ustaz Don buat masa ini tidak akan muncul dalam segmen Don Give Up yang bersiaran setiap Jumaat menerusi slot Morning-Morning Suria dari jam 8 hingga 9 pagi.

Perkara itu dimaklumkan menerusi kenyataan ringkas daripada sumber dalaman stesen radio terbabit yang memberitahu, pihak stesen hanya mematuhi arahan daripada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

“Buat masa ini, Ustaz Don Daniyal iaitu penyampai jemputan bagi segmen Don Give Up, tidak bersiaran seperti biasa sehingga keputusan rasmi daripada pihak Jais. 

“Kami akan sentiasa menghormati dan mematuhi setiap arahan pihak berkuasa dan akan memaklumkan perkembangan mengenai perkara ini,” katanya memetik laporan Harian Metro.

Difahamkan juga, Don Daniyal tidak akan muncul bersiaran dalam segmen berkenaan mulai esok sehinggalah keputusan rasmi daripada pihak Jais.

Menerusi kenyataan itu, turut dijelaskan bahawa pihak pengurusan stesen radio terbabit sudah pun berbincang dan memaklumkannya kepada pihak Don Daniyal.

Don Daniyal mengendalikan segmen Don Give Up bermula 1 Januari 2023 yang memerlukan dia menjawab persoalan mengenai kemusykilan agama daripada pendengar radio yang bersiaran setiap Jumaat.

Terdahulu, media melaporkan Jais sudah mengeluarkan arahan pada 21 Jun lalu kepada semua agensi, masjid, surau dan musolla bagi menangguhkan serta tidak mengundang Don Daniyal.

Baca juga: Terkejut dengar khabar angin konon kahwin lagi, Aishah dedah status diri