“Nak buat pesanan kalau tak ada ‘line’ susah” – Wanita harap restoran sediakan ‘password’ WiFi

Oleh MALAYSIADATELINE

Zaman sekarang ni teknologi sudah moden hingga ada banyak restoran yang tidak lagi mengambil pesanan di meja.

Walaupun nampak ia adalah satu penambahbaikan, namun kadar kelajuan internet di negara ini masih belum di tahap memuaskan.

Malah di sesetengah kawasan liputan internet adalah lebih perlahan dan menyukarkan pelanggan untuk menggunakan telefon mereka.

Seorang pengguna Facebook, Zeeda Aziz yang juga seorang ‘Bone Cancer Survivor’ kecewa dengan sesetengah restoran yang tidak menyediakan WiFi.

Jelasnya pemilik restoran yang memberikan QR Code untuk pelanggan membuat pesanan perlu menyediakan kata laluan WiFi agar senang digunakan jika internet mereka perlahan.

Tapi boleh pula pekerja di sana berkeras dengan menyuruhnya membuat pesanan dahulu barulah kata laluan diberikan.

“Malam tadi, hampir sahaja saya tinggalkan kedai makan ini sebabnya saya tak dapat buka link dari QR Code. Capaian Celcom tak cukup kuat di area tu.

Sebelum saya berputus asa, saya suruh anak tanyakan apa password untuk kedai ini. Jawapan dari pekerja disitu mengejutkan saya. Katanya nak guna WiFi, ORDER DULU.

“Kalau tak nak bagi customer guna WiFi, jangan lah pakai QR Code tu. Ambil order secara manually. Datang ke meja, ambil order.

“Atau, letak kertas order, pensil dan menu. Nanti dah siap tanda, datang ambil kertas tu,” ujarnya dalam hantaran di Facebook.

Pada masa sama, Zeeda memaklumkan makan di sana sedap dan masa penyediaan juga tidak begitu lama cuma yang menjadi masalah adalah cara untuk buat pesanan.

“Saya dah pun memaklumkan hal ini pada pekerja disitu. Terpulanglah pada mereka, nak ubah atau tidak.

“Sekecil-kecil perkara begini, boleh membuatkan pelanggan tak nak datang dua kali. Pemilik perniagaan sekalian, kadang tu, tak ada siapa pun sihirkan kedai awak.

“Cuma awak dan pekerja yang tak mahir membaca riak muka pelanggan yang sedang kecewa.

“Selepas saya tegur hal ni, mereka bagi alasan, internet situ tak kuat pula. Sebab itulah mereka tak bagi password. Dah tau tak kuat, tak payah la guna QR Code,” tambahnya.

Baca juga: Selepas digugurkan dari Salam Baitullah, kini Suria FM umum Ustaz Don tidak bersiaran lagi di radio