“Nanti saya tanya Allah” – Fazura penat disoal mengenai anak kedua, anggap belum rezeki

Oleh MAISARAH AISYA

Siapa sahaja tidak menginginkan zuriat namun semuanya adalah rezeki daripada Tuhan, kita hanya mampu berdoa.

Mulut orang ni tak akan pernah berhenti soal kahwin dan zuriat hingga dalam tak sedar mengguris hati individu lain.

Begitu juga buat pelakon dan usahawan Fazura yang kerap dihujani soalan mengenai cahaya mata kedua.

Dalam satu video di TikTok, Fazura kadang kala tidak dapat menjawab persoalan tersebut dan hanya mampu meminta doa peminat dan orang ramai.

“‘Fazura, bila nak tambah anak?’ Nanti saya tanya Allah. Suami saya ada di Kelantan, macam mana hendak buat anak baru?

“Adakah saya perlu tumbuk bawang putih dan bawang merah, dicampur dengan bunga cengkih kemudian boleh mengandung selepas itu?

“Ramai tanya soalan itu, macam mana saya nak jawab? Pastinya perlu berdoa sebab saya pun nak tambah anak,” katanya dalam sebuah video yang tular di TikTok.

Tambah wanita berusia 40 tahun itu, dia juga ingin memberikan adik buat anak sulungnya, Nur Fatima Aisya.

“Namun, itu semua ketentuan Tuhan dan kita berusaha serta doakan agar dipermudahkan.

“Saya juga nak tambah anak dan beri adik untuk Fatima. Dia pun nak adik,” katanya lagi.

Baca juga: Terkejut dengar khabar angin konon kahwin lagi, Aishah dedah status diri